Ulasan dan pandangan ikhlas, jujur dan tidak hipokrit

Ulasan dan pandangan ikhlas, jujur dan tidak hipokrit

Berbagai ulasan, pandangan serta kenyataan-kenyataan dari pelbagai pihak dapat kita lihat mengenai Parti Bersatu  yang ditubuhkan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ada yang berbaur kecaman, Ada yg memperlekeh dan berbagai komen khususnya dari pemimpin-pemimpin parti politik, golongan akedemik, ilmuan dsb.

Pada pandangan saya ianya mudah saja untuk kita ulaskan. Kalau penubuhan Parti  Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini dianggap remeh, tiada sokongan, tidak memberi kesan pada kepada parti lain, dianggap hanya parti serpihan, tidak dapat bertahan lama atau berkubur selepas PRU14, kenapa perlu dibuat pelbagai andaian dan mengeluarkan berbagai kenyataan serta ulasan dimedia? Sehinggakan nama Bersatu pun mendapat bantahan. Pelbagai alasan dan tekanan sudah mula timbul satu per satu. Banyak pihak berlumba-lumba mahu memberi ulasan sehingga dilihat seperti Kumpulan Raja Lawak.

Malaysia sebuah negara yg mengamal demokrasi. Takkanlah golongan akedemik pun tak faham. Dimana sifat intektualisme dan keilmuan.  Tun Mahathir dan  Tan Sri Muhyiddin Yassin juga rakyat Malaysia yang berhak menubuhkan parti. Soal sama ada mendapat sokongan atau tidak dari rakyat, itu sama-sama kita tunggu dan saksikan. Beri mereka ruang dan peluang. Jangan sesekali cuba merendahkan minda rakyat (insult peoples inteligent) kerana rakyat tahu apa yang mereka harapkan. Kini dunia tanpa sempadan. Maklumat dihujung jari. Tidak perlulah keterlaluan mengeluarkan kenyataan atau ulasan seolah-olah tahu segala-galanya apa yg ada dalam minda dan pemikiran rakyat.

Nasihat saya, walaupun masing-masing ada hujah, pandangan dan sebagainya janganlah sehingga ‘Mendahului kuasa dan ketentuan Allah’. Kita hanya merancang tapi Allah SWT jua yang menentukan.

Dalam dunia politik khususnya diketika ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Ini wajar diingati supaya jangan terlalu angkuh, takbur dan memandang rendah keupayaan orang lain sehingga ke tahap menghina. Ini akan merugikan dan terkesan sehingga terlalu negatif untuk diterima. Paku dulang Paku serpih. Mengata orang dia yang lebih.

Setakat ini saya berpendapat pandangan dan ulasan sdr  Khairy Jamaludin dan  Datuk Bung Mokhtar boleh dianggap rasional dan berpijak dibumi nyata dalam memberi reaksi kepada Parti Bersatu yang diasaskan oleh  Tun Mahathir dan Tan Sri  Muhyiddin. Jelas kelihatan matang dan logik. Jauh lebih baik dari ulasan serta pandangan lain waima pandangan ahli akedemik mahu pun tokoh-tokoh politik yang lain. Pepatah melayu ada menyebut : Kata yang benar ditidakkan, rahmat tuhan dilarikan.

Ulasan saya ini sekadar sebuah pandangan bebas dari mantan calon Bebas dan masih bebas dari parti-parti politik serta sebagai rakyat yang memahami dan mendokong demokrasi, aktivis politik dan mantan ahli parlimen 3 penggal dan memegang berbagai jawatan dalam parti politik sebelum ini serta Presiden Perkasa Malaysia. Saya terpanggil membuat ulasan ini kerana saya rasa amat lucu dan adakalanya ketawa sendirian apabila membaca berbagai kenyataan pihak-pihak tertentu yang saya anggap seolah-olah menonton program Maharaja Lawak Mega. Kenyataan-kenyataan yang dilihat seperti Maharaja Lawak inilah yang akan mendorong rakyat menyokong Parti  Bersatu yang ditubuhkan oleh  Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin. Saya akhiri ulasan dan pandangan saya dengan serangkap pantun :

Keris disanding bersama tombak
Diasap setanggi bunga teratai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah ditepi pantai

Penulis Datuk Ibrahim Ali adalah Presiden Perkasa

CATEGORIES