Malaysia Dateline

ULASAN ISU Istana dan PN: Yang diharap mohon maaf, yang diberikan tindak balas

Sebagai permulaan, saya terus simpulkan kenyataan bertulis PMO bertarikh 29 Julai 2021 seperti berikut:-

21 Julai 2021 – Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati YDPA untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh YDPA semasa tempoh Darurat.

22 Julai 2021 – PMO telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara yang memperuntukkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh YDPA dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

23 Julai 2021 – Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada YDPA untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya Ordinan Darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan YDPA mengenai pembatalan tersebut mengikut Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

24 Julai 2021 – YDPA telah menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

26 Julai 2021 – Semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, semua Ordinan Darurat telah dibentangkan (“laid”) di atas meja Dewan Rakyat selaras Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

27 Julai 2021 – Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap YDPA untuk menjelaskan kedudukan Ordinan Darurat tersebut. Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat. Perdana Menteri juga telah menyembah maklum bahawa kesemua Ordinan Darurat tersebut tidak perlu diungkaikan (“annul”) oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati YDPA untuk membatalkannya. Kata Perdana Menteri lagi, sidang khas Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkaikan Ordinan Darurat.

Selesai di sini mengenai surat PMO ini. Bagi saya, surat PMO ini adalah tindak balas PN terhadap Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 29 Julai 2021 yang mahu memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa YDPA mestilah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri (“must act on advice of the Cabinet”) sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membatalkan kesemua Ordinan Darurat pada 21 Julai 2021, maka YDPA tiada pilihan lain melainkan terpaksa mengikut nasihat Jemaah Menteri dengan memperkenan pembatalan kesemua Ordinan Darurat tersebut.

Namun begitu, jika kita cross refer kepada Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 29 Julai 2021, YDPA menegaskan bahawa apa yang dipersetujui sebelumnya bersama Menteri JPM dan Peguam Negara semasa majlis menghadap YDPA pada 24 Julai 2021 adalah berbeza sama sekali dengan apa yang berlaku semasa sidang Dewan Rakyat.

Yang dipersetujui bersama ialah agar kesemua Ordinan Darurat tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (“annul”) TETAPI apa yang berlaku ialah, Ordinan-Ordinan Darurat tersebut langsung tidak dibahaskan semasa sidang Dewan Rakyat. Ertinya, yang dipersetujui dan dijanjikan itu tidak berlaku. Maka dengan sebab itulah YDPA menzahirkan kekecewaan Baginda seperti di dalam Kenyataan Media Istana Negara seperti berikut:-

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan YB Takiuddin bin Hassan dan Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan”.

Ertinya, YDPA mahu Ordinan Darurat tersebut dibahaskan dan diungkaikan (“annul”) di Parlimen tetapi PN berbohong di Dewan Rakyat kononnya YDPA telah perkenan Ordinan Darurat tersebut dibatalkan. Alhamdulillah, pembohongan PN itu akhirnya terbongkar dengan Kenyataan Media dari Istana Negara sendiri.

Persoalannya, mengapa Kerajaan PN memungkiri janjinya dengan tidak membentangkan dan membahaskan Ordinan Darurat tersebut di Dewan Rakyat?

Saya berpandangan bahawa Tan Sri Mahiaddin bimbang sekiranya beliau hilang sokongan dari kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat jika berlakunya sebarang undian terhadap perbahasan Ordinan Darurat tersebut nanti. Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan menuntut bahawa, jika Ordinan Darurat hendak dilupuskan melalui proses ungkaian (“annulment”), Ordinan Darurat tersebut mestilah dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen. Itu yang mereka takut sebenarnya. Mereka takut hilang sokongan, takut hilang kuasa dan mereka takut dengan perbahasan kerana mereka tahu keputusan mereka adakan Darurat adalah keputusan yang salah dan gagal menyelamatkan negara. Jadi, mereka terpaksa “defensif” di dalam Dewan Rakyat jika adanya perbahasan.

Maka, untuk mengelakkan berlakunya perbahasan dan pengundian, maka mereka memilih agar Ordinan Darurat tersebut dibatalkan sahaja oleh Jemaah Menteri dan memaksa YDPA untuk memperkenan pembatalan tersebut.

Hakikatnya ialah, YDPA tidak pernah memberi perkenan untuk membatalkan Ordinan Darurat tersebut. YDPA melalui Kenyataan Media bertarikh 29 Julai 2021 jelas adanya penafian tersebut, malah titah Baginda amat jelas iaitu mahukan Ordinan Darurat tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

YB Takiuddin berkata di Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021. Tetapi YDPA menafikannya dan tidak ada pun di dalam surat PMO tersebut menyatakan bahawa YDPA telah perkenan pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai 2021. Jelas Takiuddin telah berbohong di Dewan Rakyat !

Adakah pada 24 Julai 2021? Jawapannya juga TIDAK ! Pada 24 Julai, YDPA telah menitahkan agar Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen dan ianya dipersetujui oleh PN.

Hanya pada 27 Julai 2021 baru Perdana Menteri menghadap YDPA untuk memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut. Itu pun setelah PN diasak bertubi-tubi oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat. Kalau tidak, pertemuan Perdana Menteri pada 27 Julai 2021 dengan YDPA mungkin tidak berlaku.

Namun persoalannya ialah, adakah nasihat Perdana Menteri pada 27 Julai 2021 mengenai pembatalan Ordinan Darurat tersebut sah? Saya berpandangan ianya tidak sah kerana pada tarikh tersebut, Parlimen telah pun mula bersidang pada 26 Julai 2021 (150(2B)). Maka menurut Perkara 150(3), Ordinan Darurat tersebut mesti dibatalkan melalui kaedah pengungkaian (“annulment”) sahaja di Parlimen, bahkan Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 29 Julai 2021 sendiri telah menafikan adanya perkenan YDPA untuk membatalkan Ordinan Darurat tersebut pada 27 Julai 2021.

Di dalam satu video yang dikongsikan, saya ada melihat Setpol kepada YB Takiyuddin menyebut bahawa maksud perkataan BENTANG (“laid”) di dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan itu bermaksud “letak di atas meja”. Maka dengan sebab itulah, kalau kita baca surat PMO tersebut, kerajaan PN menyebut bahawa pada 26 Julai 2021, semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, semua Ordinan Darurat telah dibentangkan (“laid”) di atas meja Dewan Rakyat selaras Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. Bagi mereka, letak Ordinan Darurat tersebut di atas meja Dewan Rakyat sudah memenuhi maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan walaupun tidak dibahaskan.

Saya menyatakan bahawa tafsiran tersebut TIDAK TEPAT. Setpol Menteri JPM telah menafsirkan Perkara 150(3) tersebut secara LITERAL tanpa cuba memahami maksud keseluruhan Perkara 150(3) dalam konteksnya yang sebenar. Perkara 150(3) menyebut, “…any ordinance promulgated under Clause (2B) shall be laid before both Houses of Parliament and, if sooner revoked, shall cease to have effect if RESOLUTIONS ARE PASSED by both Houses annulling such ordinance..”. Terjemahan: “…apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika KETETAPAN DILULUSKAN oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan ordinan itu…”

Jelas dalam konteksnya yang sebenar, dalam proses mengungkaikan Ordinen Darurat, ia bukan sahaja perlu diletakkan di atas meja Dewan Rakyat, malah ia mesti diluluskan melalui satu ketetapan yang dibuat oleh ahli-ahli Dewan. Resolusi atau Ketetapan untuk mengungkaikan Ordinan Darurat di bawah Perkara 150(3) tidak akan tercapai melainkan selepas ianya dibahaskan di Parlimen. Adalah tidak munasabah sesuatu RESOLUSI dan KETETAPAN di Parlimen dibuat dengan hanya meletakkan Ordinan Darurat tersebut di atas meja Dewan Rakyat sahaja tanpa ianya perlu dibahas oleh ahli-ahli Dewan.

Sudah tentu ianya juga bertentangan dengan amalan sidang Parlimen itu sendiri yang menjadi premis untuk ahli-ahli Dewan berbahas dan berfungsi sebagai “semak dan imbang” terhadap setiap keputusan, usul, rang undang-undang dan sebagainya yang dibawa oleh pihak Kerajaan. Fungsi Parlimen tidak akan tercapai jika Ordinan Darurat tersebut hanya diletakkan di atas meja Dewan Rakyat semata-mata tanpa adanya perbahasan.

Selanjutnya, di dalam surat PMO tersebut, PN telah menyatakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh YDPA. Saya menyatakan bahawa desakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang tersebut selaras dengan titah YDPA sebelum ini yang mahukan agar Ordinan Darurat tersebut dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat. Oleh itu, di mana salahnya desakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang itu? Yang salah ialah PN kerana derhaka kepada titah YDPA yang berulang-ulang kali secara jelas menitahkan agar Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen !

Di dalam surat PMO tersebut juga ada menyatakan bahawa, “Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus”.

Melalui kenyataan PMO di atas, adakah PN ingin menyindir, membantah atau mencabar YDPA dengan menyatakan bahawa Kenyataan Istana Negara tersebut tidak benar, salah dan mengelirukan? Adakah PN ada sebarang niat untuk memalukan dan menghina YDPA?

Kita harapkan surat PMO tersebut berbentuk permohonan maaf tetapi yang diterbitkan adalah berupa tindak balas. Adakah PN mahu bergaduh dengan YDPA? Persoalan ini saya harap akan ditanya oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang pada minggu hadapan.

Saya percaya bahawa keengganan YDPA untuk memperkenankan permohonan pembatalan Ordinan Darurat tersebut kerana YDPA sedar dan peka bahawa Baginda berkewajipan untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dari disalah guna oleh pihak yang berkepentingan.

Hal ini dizahirkan melalui Kenyataan Media Istana Negara yang menyebut, “Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong”.

Ertinya, YDPA tahu di mana letaknya batas Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Ya, YDPA sedar bahawa Baginda mesti bertindak di atas nasihat kabinet tetapi bukan untuk dikambing hitamkan oleh politikus yang cuba berselindung di balik pintu Istana atas nama Raja Berperlembagaan.

Nasihat saya kepada PN, tidak perlu berselindung di sebalik pintu Istana. Jangan heret Istana dalam permainan politik kamu. Kamu yang nak sangat Darurat dilaksanakan walaupun YDPA hakikatnya enggan.

Nah, berani buat, berani lah tanggung. Kamu selesaikanlah sendiri hal Darurat ini di Parlimen. Jangan kambing hitamkan Institusi DiRaja untuk kepentingan politik kamu. Begitulah bahasa mudahnya yang cuba disampaikan oleh YDPA.

Tetapi PN degil, angkuh, sombong dan tidak mengaku salah. Itulah mesej mereka kepada kita dan YDPA.


Penulis adalah seorang peguam yang juga aktibvis Pemuda AMANAH. Ini adalah pandangan pribadi penulis.