Malaysia Dateline

Ulasan Laporan LCS: Pendahuluan, skop, metodologi, persidangan dan latar belakang – Siri 3 dan 4

Pendahuluan, skop, metodologi dan persidangan (muka surat 1 hingga 5)

Di dalam bahagian pendahuluan, PAC menerangkan bahawa isu pembelian kapal LCS berjumlah RM 9 bilion telah dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019. Ianya turut dilaporkan oleh JKSTUPKK.

Maka, berdasarkan kuasa yang ada pada PAC, PAC telah membincangkan penemuan berkenaan. Ia telah memanggil saksi-saksi seperti yang tersenarai untuk memberi keterangan secara bersemuka. Tarikh-tarikh prosiding dan saksi-saksi yang terlibat ada dikemukakan.

Oleh itu, asas kepada laporan PAC berkenaan dengan perolehan LCS ini adalah berdasarkan keterangan saksi-saksi berkenaan.

Latar belakang perolehan 6 kapal LCS

Diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk dibeli secara rundingan terus dengan jumlah RM 9.128 bilion. Kontrak bermula 3 Oktober 2013 sehingga 2 Oktober 2023.

Namun sehingga laporan PAC, tiada kapal LCS yang siap dibina. Status pembinaannya pada kadar 63.77% sehingga 0%.

Keterangan Pn. Nurliza binti Md Nuruddin (wakil Jabatan Audit Negara) bahawa sekiranya ada kelewatan melebihi 12 bulan pihak Kementerian Kewangan mempunyai hak untuk menamatkan kontrak. Kontraktor juga boleh dikenakan denda lewat. Walau bagaimana pun denda lewat ini dihadkan kepada RM 180 juta sahaja.

Setakat 10 Jun 2020, kelewatan LCS1 adalah adalah 435 hari dengan nilai denda berjumlah RM217.50 juta. Walau bagaimanapun setelah mengambil kira elemen capping, denda maksimum yang boleh dikenakan hanyalah RM180 juta sahaja.

Sehingga 30 Jun 2020, Kementerian Pertahanan tidak mengeluarkan surat tuntutan kepada syarikat bagi menuntut denda lewat dan sebaliknya hanya mengeluarkan notis peringatan sahaja pada 14 Jun 2019. Setakat 23 Oktober 2020, sejumlah RM80.64 juta telah diambil tindakan set off dengan bayaran kemajuan kepada kontraktor.

Menurut Pn. Nurliza juga, bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan sebenar sebanyak 21.1% kerana bayaran dibuat berdasarkan aktiviti kontrak, bukannya pembinaan fizikal, persenjataan dan kesediaan kapal untuk belayar.

Keterangan En. Guna Arulalan David (wakil JKSTUPKK) bahawa sehingga Oktober 2020, sebanyak RM 6.08 bilion telah dibayar oleh kerajaan walaupun tiada sebuah kapal pun dibekalkan. Salah satu isu utama yang menyebabkan kelewatan ialah kegagalan Kementerian Pertahanan dan kontraktor untuk memuktamadkan “variation proposal”. Seterusnya ialah kedudukan kewangan BNS dan pendekatan “contractor-centric” bukannya berdasarkan kepada keperluan sebenar pelanggan yang akan menggunakan kapal.

_____

TULISAN SEBELUM INI

SIRI 1 – Ringkasan laporan PAC isu kapal LCS, kita bincang dari ‘kulit ke kulit’ – Siri 1

SIRI 2 – Ringkasan eksekutif laporan PAC isu kapal LCS, mudah sampai senang faham – Siri 2 Skandal LCS