Ulat tiket pelampau, jual tiket konsert Coldplay berharga RM1,288 dengan harga lebih RM43,000

Oleh KIM SYAZIE

Sekumpulan individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai ulat tiket didapati menjual semula tiket kategori 1 berharga RM1,288 dengan harga RM43,200 dalam satu platform beli-belah.

Pada semalam, tiket konsert Coldplay: Music of the Sphers World Tour habis terjual dalam tempoh empat jam sejak penjualan hari kedua dibuka jam 10 pagi.

Susulan itu, warga maya mengesan ada beberapa ulat tiket tergamak membeli ratusan tiket hanya untuk dijual semula dengan harga yang tinggi.

Difahamkan, tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288 seperti tertera dalam laman web rasmi GoLive-Asia. Namun, kumpulan ‘scalper’ mengambil kesempatan dengan menjual tiket berkenaan dengan harga yang tidak masuk akal.

Memetik laporan Berita Harian, individu yang menjual tiket itu sasarannya hanya untuk mereka berkemampuan, manakala pertukaran dengan motosikal tidak diterima.

Sehubungan itu, peminat kumpulan rock popular dari British itu memohon kumpulan ‘scalper’ atau ulat tiket dibanteras.

Tinjauan BH Online mendapati kumpulan ‘scalper’ menjual semula tiket di platform media sosial dan beli-belah pada harga berlipat kali ganda daripada harga tiket asal.

Sebagai contoh, tiket My Universe yang bernilai RM2,108 dijual pada harga RM3,500 di platform beli-belah.Kumpulan ‘scalper’ ini dipercayai mempunyai akses internet laju, seterusnya membolehkan mereka membuat pembelian dengan cepat.

Menerusi laman Twitter, rata-rata peminat Coldplay meminta pelayar lain tidak terpedaya dengan membeli tiket dijual ‘scalper’ dan meminta memboikot kumpulan itu.

“Jangan beli tiket daripada ‘scalper’, biar ketika konsert mereka duduk sorang-sorang dengan 100 tiket dibeli,” ciap seorang pengguna Twitter.

Sementara itu, ada juga kecewa kumpulan ‘scalper’ berjaya membeli 400 tiket, sedangkan untuk membeli beberapa tiket pun sukar diperoleh.

Namun, hasil tinjauan mendapati ada peminat sanggup memperjudi nasib dengan membeli tiket daripada kumpulan ‘scalper’, tetapi memohon tiket dijual pada harga berpatutan.

Melihat senario ini, tidak hairan jika kumpulan ‘scalper’ masih terus berleluasa.

Baca juga: Dakwa Imam Mahdi dah keluar, pakar hadis nasihat netizen jangan terburu-buru takut “terciduk”