Malaysia Dateline

Ulu Muda: 74.3 peratus hutan diwartakan tidak dilindungi sebaiknya

Ulu Muda merupakan kawasan tadahan air yang paling penting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Walaubagaimanapun, menurut pendedahan baru-baru ini, hanya 15.3 peratus daripada hutan hujannya telah diwartakan sebagai ‘hutan tadahan air’ dibawah Akta Perhutanan Negara 1984 (APN 1984).

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa dalam kenyataan beliau.

Malah katanya, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), telah menyatakan melalui jawapan kepada soalan di Parlimen pada 4 November baru-baru ini bahawa Kerajaan Negeri Kedah telah mewartakan 106,418 hektar (ha) hutan Ulu Muda sebagai hutan simpan kekal atau HSK sejak 24.9.1932.

Sehubungan itu kata Jaseni lagi, KATS turut menyatakan bahawa pada 10 Mei 2018, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah mengklasifikasikan 16,299 ha daripada HSK (15.3 peratus) daripada 106,418 ha sebagai ‘hutan tadahan air’ dan 11,118 hektar atau 10.4 peratus daripada 106,418 ha sebagai ‘taman hutan negeri.

Bagaimanapun jelasnya, klasifikasi selebihnya 79,001 ha atau 74.3 peratus daripada 106,418 ha, hutan hujan di Ulu Muda tidak didedahkan.

“Jawapan di Parlimen pada 4 November 2019 telah menimbulkan kebimbangan apabila Kedah dilaporkan mewartakan hutan Ulu Muda sebagai HSK sejak tahun 1932 lagi.

“Walaubagaimanapun pewartaan tersebut tidak menghentikan pembalakan di Ulu Muda sehingga tahun 2018.

“Harus diingat bahawa Seksyen 10 (1) (a) APN 1984 membenarkan klasifikasi HSK sebagai ‘hutan pengeluaran balak dibawah hasil yang mampan’, ” tegasnya.

Menurut Jaseni lagi, pada 4 September 2018 pula, KATS telah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah kerana mengharamkan pembalakan haram di Ulu Muda.

Namun begitu ujarnya, laporan khas yang telah diterbitkan oleh The Star pada 21.4 2019 menunjukkan 700 ha hutan hujan telah digondol di Bukit Keramat, mendedahkan bukit kosong berhampiran Empangan Ahning.

“Dengan ini membuktikan dengan jelas hutan yang diwartakan sebagai HSK di bawah APN 1984 tidak melindungi kawasan tadahan air daripada pembalakan, kecuali kawasan-kawasan ini secara khusus diklasifikasikan sebagai ‘hutan tadahan air’.

“160,000 hektar hutan hujan di Ulu Muda menadah 70 peratus air mentah Negeri Perlis, 96 peratus air mentah Negeri Kedah dan lebih 80 peratus adalah air mentah Pulau Pinang.

“Sebarang pengurangan dalam saiz Ulu Muda sudah tentu akan memberi kesan kepada jumlah air mentah ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, ” tambahnya.

Kata beliau lagi, ancaman terhadap Ulu Muda merupakan ancaman kepada NCER kerana ia akan menjejaskan bekalan air di tiga negeri NCER.

Ujarnya, Kedah perlu diberi pampasan seadil-adilnya sebagai penjaga kawasan tadahan air NCER agar Ulu MUda dapat dipelihara secara mampan.

Justeru itu beliau menyatakan tanpa pampasan yang adil, Kedah akan terus terdorong untuk membuka Ulu Muda untuk eksploitasi bagi keuntungan ekonomi.

Beliau juga berkata, komitmen yang tulus untuk selamatkan Ulu Muda mesti disokong oleh undang-undang yang ketat dan jelas yang menyatakan terma perundangan, syarat dan tempoh masa.