Ulu Muda kawasan tadahan air 3 negeri bukan sekadar hutan simpan kekal, kata PBAHB

Ulu Muda kawasan tadahan air 3 negeri bukan sekadar hutan simpan kekal, kata PBAHB
Datuk Ir Jaseni Maidinsa

Perlis, Kedah dan Pulau Pinang amat bergantung kepada Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air serantau.

Sehubungan itu, tidak ada keraguan bahawa sebarang pengeluaran kayu di Ulu Muda akan menjejaskan perkhidmatan bekalan air, bukan saja di negeri Kedah, tetapi juga di tiga negeri yang lain.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB), Datuk Ir Jaseni Maidinsa dalam kenyataan beliau.

Jelasnya lagi, pendedahan Parlimen pada 1 Julai 2019 menekankan betapa pentingnya menentukan status Ulu Muda dan melindunginya dengan berkesan melalui beberapa pertimbangan yang harus dilaksanakan.

“Ulu Muda merupakan kawasan tadahan air wilayah utara dan bukannya sekadar hutan simpan kekal di negeri Kedah.

“Pemuliharaan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air serantau harus diberi keutamaan sebagai isu pengurusan air mentah yang kritikal dan bukannya isu perhutanan.

“Status Ulu Muda sebenarnya mempunyai kaitan langsung kepada kelestarian bekalan air untuk tiga negeri, ” tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Ulu Muda mesti dianggap sebagai aset negara yang memerlukan penjagaan dan perlindungan oleh kerajaan Persekutuan.

Ujar Jaseni lagi, hutan hujan di Ulu Muda harus diklasifikasikan sebagai ‘Hutan untuk Tujuan Persekutuan’ dibawah Seksyen 10 (1) APN.

Malah katanya, kerajaan Persekutuan mestilah memastikan Ulu Muda tidak di musnahkan.

“Untuk memulihara Ulu Muda secara sah, secara fizikal dan selama-lamanya kerajaan Persekutuan harus membayar pampasan seadil- adilnya kepada Kedah.

“Disamping itu Ulu Muda mesti dipulihara dengan betul, sepenuhnya dengan segera. bukan saja untuk burung-burung dan pokok-pokok tetapi untuk kesejahteraan rakyat negara ini.

“Ia juga untuk kesejahteraan anak-anak dan cucu-cicit mereka, ” tambah beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP).