Malaysia Dateline

UM ambil serius kejadian pelajar diserang, tidak sokong provokasi lisan, visual dilakukan

Universiti Malaya (UM) memandang serius kejadian pelajar diserang seperti yang tersebar dalam media ketika berkumpul memegang plakad di luar kampus UM pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UM hari ini, memaklumkan pihak universiti prihatin akan isu keselamatan membabitkan mahasiswa di dalam dan luar kampus.

“Seramai enam orang pelajar UM disahkan terlibat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“UM secara konsisten memberikan kebebasan kepada para pelajar menyuarakan pandangan dan menentukan idealisme masing-masing dalam mengutarakan isu berkaitan mahasiswa, sosial, ekonomi mahupun politik dalam ruang lingkup undang-undang dan peraturan yang
diwartakan di negara ini,” ujarnya kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berkata, UM mengakui peranan mahasiswa membangunkan negara melalui penglibatan dan penyertaan aktif dalam aktiviti politik kepartian.

Perkembangan ini menuntut teladan yang baik dari ahli dan aktivis politik bagi membentuk aktivisme mahasiswa menjadi lebih sihat agar budaya politik matang dapat diwujudkan.

Bagaimanapun ujarnya kenyataan itu, UM tidak menyokong mana-mana tindakan provokasi lisan mahupun visual sama ada dilakukan oleh pelajar mahupun kumpulan tertentu memandangkan masyarakat Malaysia menuju ke arah masyarakat madani yang penuh dengan kesantunan dan kesusilaan.

“Datuk Ir. (Dr) Abdul Rahim Hj. Hashim, Naib Canselor UM menyatakan bahawa, “kejadian ini boleh dielakkan sekiranya semua pihak mengelakkan kata-kata dan tindakan provokatif, diharap mereka yang terlibat dalam insiden ini sama ada pelajar mahupun penyokong
kumpulan tertentu lebih matang dalam bertindak pada masa hadapan tanpa menggunakan kekerasan”.

“UM akan terus mengalukan wacana pertukaran idea dan pandangan dalam usaha kami mendidik serta mengeluarkan intelektual yang berwibawa serta pemimpin masa depan yang bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian negara ini.

“Diharap setiap anggota masyarakat bersama-sama dengan pihak universiti dalam menjayakan usaha mendidik mahasiswa negara ini ke arah masyarakat bertamadun yang mana semua isu diselesaikan dengan aman tanpa sebarang kekerasan,” ujarnya kenyataan itu.

Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam telah bertindak mengasari pelahar UM di hadapan Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaya (UM).

Lokman telah bertindak mengoyak poster yang dipegang pelajar tersebut kerana ia adalah gambar pemimpin Umno yang terbabit dalam isu skandal 1MDB.