Malaysia Dateline

UM berhak tarik semula Ijazah mahasiswa protes ketika Istiadat Konvokesyen, kata MPN

Universiti Malaya (UM) mempunyai hak sama ada mahu mengekalkan atau menarik semula penganugerahan Ijazah kepada pelajar UM yang bertindak biadab melanggar protokol Istiadat Konvokesyen, Isnin lalu.

Datuk Dr Radzuan Che Ros

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, tindakan graduan yang bertempik sambil mengangkat plakad protes itu sebagai mencemarkan majlis rasmi universiti.

Dengan itu, katanya Senat Universiti mempunyai kuasa mutlak untuk melulus atau tidak penganugerahan ijazah kepada penuntut mereka.

“Tiap-tiap orang ada hak masing-masing. Pihak pelajar merasa mereka ada hak untuk melakukan (tindakan berkenaan) dan pihak Universiti pun ada hak mereka.

“Soal penganugerahan atau penarikan ijazah, ini adalah hak senat Universiti itu berdasarkan peraturan.

“Selagi belum sampai dianugerahkan secara mutlak, selagi itu lah pihak Universiti boleh menentukan berdasarkan kepada apa-apa perkara yang dilakukan pelajar itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat perbincangan meja bulat di Pejabat Profesor Negara, hari ini.

Beliau mengulas demikian mengenai tindakan pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa UM (PMUM) yang melancarkan petisyen di media sosial bagi menuntut UM menarik balik ijazah pertama graduan terbabit.

Sementara itu, katanya, biarpun masyarakat Malaysia diberi hak kebebasan bersuara dan menzahirkan perasaan, namun mereka masih perlu patuh dengan adat sama ada bertulis mahupun tidak bertulis.

“Sebagai masyarakat umum umpamanya, adakah satu perkara yang wajar untuk mencemarkan satu majlis rasmi yang dihadiri orang ramai.

“Walaupun mereka rasa mereka mempunyai hak kebebasan bersuara dan menzahirkan perasaan tapi semuanya ada had. Kita ada hak tapi ia bukan bersifat mutlak.

“Begitu juga dalam majlis rasmi, kita adalah tertakluk sebab hidup ini dikawal oleh adat yang bertulis dan tak bertulis,” ujarnya.