Malaysia Dateline

UM masuk senarai 10 universiti terbaik Asia

Universiti Malaya (UM) buat kali pertama berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia.

Mengikut laporan dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021, UM mendahului universiti tempatan lain selepas menduduki ranking kesembilan.

Laporan itu turut menyenaraikan UM, UPM, USM, UKM, UTM, UUM dan UiTM serta tiga universiti swasta iaitu Universiti Teknologi Petronas, Universiti Taylor’s dan Universiti UCSI sebagai 110 universiti terbaik Asia atau 10 universiti terbaik Malaysia.

Universiti Putra Malaysia (UPM) (ke- 28), Universiti Sains Malaysia (USM) (ke-34), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (ke-39), Universiti Teknologi PETRONAS (ke-70), Universiti Taylor’s (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (UUM) (ke- 107) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) (ke-108).

UM juga berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat ke-10 dalam penarafan tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata perkembangan baharu itu adalah kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju sektor pendidikan tinggi negara berada di landasan betul.

“Shang Jiao Tong University adalah universiti terkemuka yang memperkenalkan Academic Ranking of World Universities atau lebih dikenali sebagai Shanghai Jiao Tong University Rankings yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

“Tahun ini adalah separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan sudah menunjukkan peningkatan kualiti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

“Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini dan dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tahun lalu, UM berada di kedudukan ke-13.