
Umat Islam hidup harmoni bersama etnik lain di China, kata Duta
Umat Islam di China sejak sekian lama menjalani kehidupan dalam keadaan aman dan harmoni bersama-sama etnik yang lain, kata Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.
Beliau berkata China mempunyai penduduk Islam yang ramai, kira-kira 23 juta menetap di negara itu.
“Di China, umat Islam juga meraikan Ramadan. Sekarang jika anda pergi ke beberapa bandar seperti di tempat tinggal saya di Xi’an dan juga beberapa wilayah, anda akan melihat umat Islam meraikan perayaan seperti umat Islam di Malaysia,” katanya kepada media di Rumah Terbuka Aidilfitri, dihoskan Kedutaan China pada Selasa.
Majlis julung kali dianjurkan kedutaan itu, dihadiri lebih 500 tetamu termasuk menteri, wakil pertubuhan bukan kerajaan, persatuan China Islam, agensi kerajaan dan media.
Tetamu kehormat ialah Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Pada majlis itu tetamu berpeluang mempelajari serba sedikit mengenai seni kaligrafi China dan memotong kertas oleh tenaga pengajar dari Institut Kong Zi Universiti Malaya.
Bai berkata majlis yang diadakan itu sebagai menghormati Islam dan umatnya di Malaysia.
“Ia sebagai rasa hormat kami kepada rakan-rakan Muslim di Malaysia, sebagai lambang persahabatan dan kasih sayang,” katanya.
–