Malaysia Dateline

Umat Islam mula solat tarawih malam ini

Umat Islam mula melaksanakan solat sunat tarawih malam ini dan berpuasa sepanjang Ramadan mulai esok dalam suasana seluruh negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Prosedur operasi standard (SOP) solat tarawih sama seperti solat Jumaat dengan antara lain jemaah perlu membawa sejadah sendiri dan mengekalkan jarak pada barisan saf.

Pemerhatian Malaysia Dateline mendapati banyak masjid berkongsikan siaran langsung solat Isyak dan solat tarawih pada malam 1 Ramadan ini di Facebook rasmi masing-masing.

Antaranya, Masjid Al Makmuriah Kayu Ara Damansara di Selangor, Masjid Mukim Chekok Panji di Kota Bharu dan Masjid Abidin atau Masjid Negeri Terengganu.

Dalam masa sama, ada juga laman yang memuatnaik penerangan berkaitan cara mendirikan solat tarawih dan witir di rumah jika masjid penuh ditambah SOP dan norma baharu dalam memerangi penularan Covid-19.