Umat Islam perlu lebih memahami intipati al-Quran berbanding ritual, kata Nik Omar

Umat Islam perlu lebih memahami intipati al-Quran berbanding ritual, kata Nik Omar

Umat Islam perlu sedar tentang pentingnya penghayatan terhadap pesanan yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Nabi berbanding melaksanakan ritual keagamaan itu tanpa disertai dengan pemahaman.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Aziz berkata, bersempena dengan peristiwa Nuzul Al-quran, umat Islam diingatkan untuk menghayati hikmah yang terkandung pada peristiwa ini dan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.

Tegasnya, beliau meminta umat Islam supaya tidak terperangkap dengan retorik dan slogan indah yang tidak berpijak di alam nyata dan pada masa yang sama mengalami kekosongan dalam memahami isi kandungan al-Quran dan Sunnah itu sendiri.

“Ada segelintir dari kalangan kita sibuk dengan ritual-ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa sunat Isnin dan Khamis, menyokong kehidupan Islamik, akan tetapi pada masa yang sama mereka melanggar dan menyeleweng daripada prinsip dan kandungan al-Quran.

“Contohnya, mereka taksub kepada kumpulan dan pemimpin tertentu, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif yang lain.

“Bersempena peristiwa Nuzul al-Quran, Yadim mengharapkan slogan kembali kepada al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira peganganmazhab, aliran keagamaan dan pegangan politik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata, Umat Islam harus berhati-hati supaya tidak menjadi ejen kepada perpecahan umat kerana sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah.

5 hikmah di sebalik peringatan Nuzul al-Quran

Dalam pada itu, beliau turut menyenaraikan lima hikmah di sebalik peringatan Nuzul al-Quran di mana ia dapat membersihkan akal dan menyucikan jiwa dari segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan yang sempurna bagi Tuhan sekalian alam.
Selain itu, katanya, peristiwa ini turut mengajar sifat kemanusiaan yang adil dan berakhlak karimah yakni umat manusia merupakan suatu umat yang sepatutnya dapat bekerjasama dalam pengabdian kepada Allah dan pelaksanaan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi.

“Seterusnya adalah mencipta persatuan dan kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kesatuan kehidupan dunia dan akhirat dan kesemuanya yang berada di bawah satu keesaan, iaitu keesaan Allah SWT.

“Hikmahnya juga antara lain untuk mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan cara bermusyawarah dan mengelakkan perpecahan.

“Yang terakhir adalah membanteras kemiskinan tegar sama ada kemiskinan secara keagamaan mahupun secara ekonomi, kebodohan, penyakit, dan penderitaan hidup,” ujarnya.