UMK hasilkan teknik pembiakan tampang yang mudah

UMK hasilkan teknik pembiakan tampang yang mudah
Dr Amizi (berbaju oren) bersama pembantu beliau yang berjaya mendapat pelbagai anugerah ekoran inovasi dalam pembangunan pertanian.

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah memperkenalkan satu lagi inovasi melalui pembiakan tampang secara mudah melalui proses G- Technique bagi pembiakan tanaman seperti pokok fig, jambu air, limau dan lain lain yang mana sebelum ini menggunakan pembiakan secara tut ataupun secara cantuman tunas secara konvensional.

Hasil inovasi ini dihasilkan oleh Ketua Penyelidik Dr Mohammad Amizi bin Ayob, Pensyarah Kanan dari Fakulti Industri Asas Tani UMK dan dibantu oleh Pegawai Pertanian Agro Tekno Park, Mohd Sa’arani bin Mhd Zain dan Penolong Pegawai Jabatan Pertanian Abdul Rahman Bin Ibrahim.

Menurut Dr Amizi, keistimewaan pembiakan tampang secara mudah ini adalah ia boleh dijalankan oleh semua lapisan masyarakat berbanding dengan teknik konvensional yang memerlukan kemahiran yang tinggi dalam pembiakan tanaman.

Di samping itu proses bagi menjalankan kerja kerja pembiakan tanaman adalah lebih cepat berbanding proses pembiakan tanaman secara konvensional iaitu melalui tut ataupun cantuman tunas.

Pembiakan tampang secara mudah ini juga boleh diaplikasi bagi penduduk di bandar bagi tujuan menambah pendapatan ataupun menggalakkan implementasi tanaman bandar.

Buat masa ini pembiakan tampang dengan menggunakan teknik ini telah mendapat sambutan dari pengusaha pengusaha tapak semaian dan juga daripada petani secara komersial, kata Dr Armizi.

Inovasi ini telah memenangi berbagai anugerah di peringkat antarabangsa dan juga peringkat kebangsaan.

Antara anugerah yang dimenangi di peringkat antarabangsa adalah perak di 2 nd World Invention Innovation Contest (WiC) 2016, emas Konvensyen Mini Team Excellence Wilayah Pantai Timur 2017 dan perak di Invention Innovation Award 2017 Malaysia Technology Expo.