Malaysia Dateline

Ummah Care nafi terlibat dalam NGO sokong darurat dikekalkan

Ummah Care Malaysia menafikan pihaknya terlibat dalam 440 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menyokong tempoh darurat dikekalkan.

Presidennya, Ustaz Haji Mohd Nasir Zakaria berkata, pihaknya tidak pernah dihubungi mana-mana individu termasuk oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) atau wakilnya sebelum kenyataan itu disiarkan di Harakahdaily semalam.

Menurutnya, Ummah Care Malaysia berasa amat kesal atas sikap yang amat tidak bertanggungjawab oleh pihak terbabit dan portal rasmi Pas itu hingga berita berkenaan dikongsi secara meluas di media sosial.

Tegasnya, Ummah Care Malaysia tidak pernah bersetuju dengan mana-mana isi kandungan kenyataan tersebut sehingga dirunding terlebih dahulu.

“Ummah Care Malaysia menjunjung tinggi peranan dan percaya atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dalam menyelesaikan apa-apa masalah yang berlaku di dalam negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa dilaporkan berkata, sebanyak 440 NGO Islam menyokong tempoh darurat yang akan tamat pada 1 Ogos nanti agar dikekalkan.

Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata, pihaknya membantah Ummah Care disertakan dalam senarai NGO terbabit yang dilihat amat bercanggah dan seolah-olah menderhaka dengan kenyataan yang dibuat semalam oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

“Ummah Care Malaysia percaya bahawa nama pertubuhan yang disertakan itu adalah merujuk kepada kami yang berdaftar dengan nombor pendaftaran PPM-003-07-15112016 atas nama Pertubuhan Kebajikan Kasih Ummah Malaysia (Ummah Care Malaysia) melainkan dibuktikan sebaliknya.

“Ummah Care Malaysia menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya penyelesaian yang dicadangkan melalui titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya, tegas Mohd Nasir, menuntut permohonan maaf segera menerusi akhbar-akhbar utama dan di Harakahdaily dalam tempoh 24 jam.