Ummah desak kerajaan pecat AG berhubung isu inkues Adib

Ummah desak kerajaan pecat AG berhubung isu inkues Adib

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendesak kerajaan untuk memecat Tommy Thomas selaku Peguam Negara (AG) kerana didakwa terlibat dengan konspirasi membabitkan inkues prosiding kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, jelas terbukti inkues tersebut seolah-olah sudah disusun atur lebih awal supaya menampakkan bahawa kes tersebut bukan lagi kes bunuh tetapi kes kemalangan.

Ini disahkan apabila sebelum ini pejabat peguam negara itu mengeluarkan afidavit yang mengatakan Adib tidak dipukul walaupun proses inkues masih berjalan.

Lebih-lebih lagi apabila semalam, peguam yang mewakili Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba, Syazlin Mansor menarik diri dalam inkues prosiding Muhammad Adib.

“Penarikan diri Syazlin Mansor menimbulkan banyak persoalan dari jawapan yang perlu dijawab antaranya kenapa penarikan diri berlaku disaat-saat akhir inkues. Kenapa dikatakan alasan penarikan diri ini adalah disebabkan faktor keselamatan. Kenapa pihak keselamatan tidak mengambil tindakan untuk melindungi beliau?

“Dan yang paling penting, adakah pihak Peguam Negara terlibat dalam penarikan diri Syazlin Mansor kerana umum mengetahui Syazlin mengatakan pengunduran setelah beliau bertemu dengan Zuraidah Kamaruddin. Siapa yang arahkan Zuraidah supaya Syazlin menarik diri.

“Jika penarikan diri ini menyebabkan bukti dari saksi utama iaitu Perunding Kanan Patalogi Forensik dari United Kingdom, Prof. Dr Shahrom Abd Wahid tidak lagi boleh dijadikan bahan bukti, maka ia benar keputusan inkues sudah dibuat awal,”katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut berkata, bukti yang diberikan oleh Dr Shahrom membuktikan secara saintifik bahawa Muhammad Adib tidak dilanggar sebaliknya dipukul.

Difahamkan sebelum ini, walaupun pihak polis telah menjalankan siasatan dan sudah mengklasifikasikan kes kematian Adib sebagai kes bunuh namun pihak peguam negara menolaknya dan meminta inkues dijalankan.

Namun, sekali lagi ketika mahkamah masih menjalankan siasatan dengan memanggil pelbagai saksi sehingga hari yang ke-50, Thomas bertindak dengan mengeluarkan satu kesimpulan mengatakan Adib tidak dipukul walaupun proses inkues masih berjalan.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak supaya Syazlin, Zuraida dan Thomas dipanggil sebagai saksi-saksi dalam prosiding inkues tersebut, supaya mahkamah dapat menyelidik jika terdapat sebarang bentuk tekanan dan arahan jahat dari pihak-pihak tertentu yang cuba mengganggu gugat integriti proses inkues tersebut.

Sementara itu, Timbalan pengerusinya, Kamaruzaman Mohamad berkata, Ummah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar timbulnya isu salah guna kuasa terutama dari pihak peguam negara.

“Kita akan membuat laporan jika benar wujudnya unsur-unsur ugutan kerana ini senario yang tidak baik dan tidak betul di mana ada pihak tertentu diugut terutama peguam dalam kes prosiding Adib masih berlangsung.

“Kita akan buat memorandum dan petisyen mendesak kerajaan memecat AG. Jelas AG tidak mampu nak ‘synchronize’ dan memang dia tidak biasa dengan kes jenayah seperti ini. Dia biasa dengan jenayah komersial sahaja. Sebab itu jadi cacamarba,”ujarnya.

Ummah akan membuat satu memorandum desakan untuk memecat Thomas kepada Perdana Menteri dan Yang Dipertuan Agong, selewat-lewatnya pada minggu ini.