Ummah gesa henti segera polemik bantah isu tulisan Jawi, Khat

Ummah gesa henti segera polemik bantah isu tulisan Jawi, Khat
Aminuddin Yaya (tengah) ketika sidang media diadakan di ibu pejabat Ummah hari ini.

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menggesa badan bukan kerajaan (NGO) supaya menghentikan segera polemik bantahan terhadap keputusan untuk melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di sekolah vernakular.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, subjek tersebut sudah diperkenalkan seawal abad ke lima dan tidak seharusnya dijadikan isu sehingga menimbulkan sensitiviti mana-mana pihak.

Katanya, Ummah juga selari dengan apa yang dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan bahawa perkara tersebut tidak seharusnya dipolitikkan.

“Ummah menyokong sepenuhnya cadangan kerajaan menjadikan tulisan jawi sebagai salah satu subjek pembelajaran kepada pelajar sekolah sama ada sekolah nasional atau vernakular.

“Kita menyanggah tindakan sebahagian NGO yang membuat kenyataan tidak wajar untuk memprotes cadangan pihak kerajaan yang ingin mengenal kembali penulisan jawi dalam negara.

“Sejarahnya, sudah ada dari abad ke lima dan memang menjadi salah satu pengajaran dan pembelajaran dalam sekolah nasional waktu itu. Perkara ini bukan baru dan tidak seharusnya menimbulkan sensitiviti,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika Majlis Pelancaran Poster Konvensyen Perpaduan Ummah, di Pejabat Muafakat, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, tulisan Jawi dan seni Khat bukan sahaja sebagai lambang kewujudan Islam, malah ia merupakan lambang masyarakat Melayu yang mana ramai anak muda kini tidak lagi memahami tulisan itu.

Sementara itu, dalam majlis sama, Aminuddin memaklumkan bahawa Ummah akan mengadakan satu Konvensyen Perpaduan Ummah yang menekankan tentang pengukuhan perpaduan Ummah merentasi ideologi kepartian politik dan ngo.

Menurutnya, konvensyen yang bakal diadakan pada 25 Ogos itu bakal menghimpunkan tokoh dan cendekiawan serta pemimpin politik yang melibatkan Presiden dari setiap parti, serta ngo Perpaduan Ummah yang terdiri daripada Majlis Dakwah Negara, Majlis Amal Islamik serta Majlis Perundingan Melayu.

“Isu perpaduan ummah menjadi kontroversi terutama selepas PRU14 selepas masing-masing membawa konsep pelbagai dalam versi penyatuan ummah. Tapi, bagi Ummah sendiri, kita lihat teras perpaduan adalah dengan menimbulkan kekuatan Melayu Islam itu sendiri

“Sepatutnya perpaduan ini perlu didokongi semua rakyat kerana kalau kita lari dari trek kekuatan Melayu Islam, kita akan jumpa anasir bersifat negatif yang melanda negara terutama dengan isu penghinaan raja-raja Melayu yang buat kita rasa tak selesa.

“Rakyat juga sedang mencari jalan keluar dari kemelut keresahan dengan pelbagai polemik perpecahan. Sebab itu kita anjurkan program ini dengan memperkasakan teras Melayu Islam merentasi politik,”ujarnya.

Jelasnya, jika perpaduan antara ummah terus dibiarkan tanpa sokongan, anasir yang bersifat merosakkan serta memecahbelahkan akan terus berleluasa yang merugikan masyarakat.

Beliau turut menyeru semua pemimpin bersama menyertai dan menunjukkan kebangkitan ummah dengan menjunjung perpaduan ummah.