Malaysia Dateline

Ummah gesa tangkap individu sokong LTTE

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini mendesak agar kerajaan menangkap individu-individu yang berani menyuarakan sokongan terhadap kumpulan Pengganas Pemberontak Tamil Eelam (LTTE) dan mencabar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata demikian yang merujuk kepada kenyataan beberapa pemimpin DAP yang mempertikaikan tugas PDRM susulan penahanan dua Adun DAP baru-baru ini.

Ini kerana katanya, tindakan pemimpin DAP tersebut menunjukkan sikap hipokrit dan ‘double standard’ apabila mempertahankan rakan parti mereka yang ditangkap.

“Ummah berasa terkilan dan kesal apabila timbul kenyataan yang mempersoalkan tugas-tugas PDRM daripada beberapa pemimpin DAP dalam hal ini yang seharusnya membuat kenyataan sokongan moral .

“Mereka ini harus ditahan dan disiasat seolah-olah mereka terlibat sama dan jelas mereka mencabar kedaulatan undang-undang negara Malaysia.

“Tindakan seperti melindungi individu-individu tersebut dan memberi mereka kedudukan tinggi di dalam DAP sangat bertentangan dengan prinsip ‘The Rule of Law’ yang dicanang oleh mereka sendiri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma), beliau berkata, pihaknya sama sekali tidak timbul isu pembubaran akta berkenaan yang menjadi perbalahan pendapat antara pemimpin politik.

Menjelaskan perkara tersebut, beliau senada dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokong bahawa isu keganasan LTTE perlu di siasat di bawah akta tersebut.

“Secara teknikaliti, kita sokong segala undang-undang yang menjaga keselamatan negara. Dulu kita ada Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang kini diganti dengan Sosma, maka kita perlu sokong.

“Kita tak ada khilaf tentang ini. Hukuman tu kita serah pada bahagian pihak berkuasa untuk tentukan,” katanya