Ummah harus cari titik persamaan jadikan Malaysia negara Islam contoh

Ummah harus cari titik persamaan jadikan Malaysia negara Islam contoh

Ummah seharusnya mencari titik persamaan agar Malaysia menjadi contoh sebagai sebuah negara Islam yang menjunjung erti kesatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, masyarakat perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat, iaitu menuju ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (negara baik dan diampuni Tuhan).

Seramai 8,000 peserta daripada 100 pasukan yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform dan penuntut institut pengajian tinggi dan pelajar sekolah

“Dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim, diharapkan negara kita akan dapat menjadi model negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam sedunia.

“Seterusnya dapat mempengaruhi dunia sepenuhnya untuk berubah kepada dunia baharu yang rahmah, saling menyantuni setiap penjurunya dengan santunan kemanusiaan, ihsan dan juga peradaban.

Para peserta perarakan disertai peserta dalam kalangan lelaki sahaja

“‘Model inilah yang kita namakan sebagai Model Malaysia, yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Rahmah, yang kaya dengan prinsip-prinsip kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Peserta daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Hadir sama, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Sambutan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Menteri (Agama) Fuziah Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail.

Justeru itu, sempena Rabi’ulawal yang sedang dilalui, Dr Mujahid yang juga merupakan Naib Presiden AMANAH, mengajak masyarakat bersama-sama mencontohi dan mengamalkan seboleh mungkin akhlak yang telah ditonjolkan Rasulullah dalam kehidupan seharian.

“Ini bagi membuktikan kecintaan kita kepada kekasih agung Allah SWT, Nab Muhammad SAW agar ia menjadi wadah kepada transformasi keseluruhan kehidupan kita kepada yang lebih baik dan diredai,” katanya lagi.

Seramai 8,000 peserta daripada 100 pasukan yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform dan penuntut institut pengajian tinggi dan pelajar sekolah menyertai perarakan yang bermula 7.45 pagi.