Gerakan Pembela Ummah (Ummah) akan meneruskan Kempen Beli Produk Muslim sehingga ekonomi umat Islam menjadi seimbang dengan bangsa lain di negara ini.
Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata, kempen tersebut adalah usaha untuk membantu usahawan umat Islam yang selama ini tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membuat pemasaran.
“Kempen ini juga untuk melestarikan jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera agar mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain.
“Ummah mahu menegaskan bahawa kempen ini tidak bermaksud memboikot produk daripada bangsa-bangsa lain dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.
“Untuk memperkasakan kempen ini, kita akan menjelajah dahulu ke Pulau Pinang pada 8 September ini, Sungai Petani, Kedah (9 September), Kuala Lumpur dan Selangor (16 September) dan berakhir di Johor.
“Kempen tersebut akan dilancarkan secara besar-besaran pada 1 Oktober ini, walau bagaimanapun lokasi pelancaran masih dalam perbincangan.
“Mereka (usahawan umat Islam) juga tidak diberi ruang oleh pasaraya-pasaraya besar untuk memasarkan produk mereka. Ini menyebabkan tidak ramai pengusaha Melayu boleh kekal dalam perniagaan,” katanya pada sidang media di pejabat Ummah hari ini, berhubung Kempen Beli Produk Muslim.
Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan, kempen tersebut juga antara lain bertindak membantu orang Islam untuk mendapatkan produk sahih dari segi kebersihan dan halal.
“Kita sering terdengar banyak produk yang dijual diragui kehalalannya sekali gus menyebabkan orang Islam tidak selesa kerana menjejaskan ibadah mereka,” katanya lagi.
Dalam isu ini, Aminuddin turut menegaskan, pihaknya menolak istilah ‘rasis’ yang digunakan oleh sesetengah pihak, kerana ia hanya untuk memenuhi kehendak politik mereka tanpa sebarang asas.
“Itu bermakna, ia berniat jahat untuk mematikan kempen dan semangat membantu sesama Muslim.
“Kami (Ummah) menyeru semua rakyat Muslim untuk terus mengutamakan produk Muslim dan tidak perlu takut terhadap kenyataan mana-mana pemimpin politik,” ujarnya.