Malaysia Dateline

Umno akan adakan mesyuarat petang esok

Umno akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi secara atas talian pada petang esok.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat tersebut untuk memperhalusi pendirian dan tindakan parti dalam mendepani situasi politik semasa.

“Umno amat prihatin dengan isu-isu semasa yang berlaku terutamanya menyentuh krisis hubungan antara Istana dan kerajaan.

“(termasuk isu) pencabulan terhadap kedaulatan institusi Raja, Keluhuran Perlembagaan dan pemandulan terhadap amalan Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, keputusan Umno ditunggu-tunggu sama ada mahu terus menyokong kerajaan atau sebaliknya, biarpun sebelum ini parti itu memutuskan untuk menarik sokongan dari Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Beberapa pihak termasuk sayap pemuda parti itu juga mendesak agar pimpinan tertinggi segera menyatakan pendirian selepas Mahiaddin dan Kabinetnya dianggap derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana membelakangi fungsi baginda sebagai Ketua Utama Negara.

Kenyataan istana minggu lalu menyebut bahawa Agong berdukacita terhadap keputusan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.