Umno tidak akan menjadikan kekalahan pada PRK Kemaman sebagai ‘kambing hitam’ untuk menjatuhkan kerajaan seperti yang pernah dilakukan oleh Mahiaddin.
Itulah maklum balas pemimpin Umno kepada gesaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Mahiaddin Yassin untuk menilai semula kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan.
Gesaan itu dilontarkan Mahiaddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas calon BN, Raja Affandi Raja Mohamed Noor tewas dalam PRK Kemaman, minggu lalu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi berkata kekalahan itu tidak bermaksud mereka perlu keluar daripada Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, lapor Free Malaysia Today (FMT).
Tegas Puad, Umno tidak akan mengikut jejak Bersatu keluar dari gabungan kerajaan pada Feb 2020 menerusi Langkah Sheraton, bertitik tolak daripada kekalahan PRK Tanjung Piai, tiga bulan sebelum itu dengan alasan hilang sokongan Melayu.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu, calon BN iaitu Wee Jeck Seng berjaya menang dengan majoriti 15,086 undi menewaskan calon PH, Karmaine Sardini (Bersatu) sedangkan kerusi itu mulanya dimenangi Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU14).
“Kemaman tidak boleh disamakan dengan Tanjung Piai. Kekalahan Bersatu di situ digunakan Mahiaddin untuk menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad dan DAP hanya jadi kambing hitam kepada Mahiaddin,” kata Puad kepada FMT.
Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut menjelaskan, kerjasama Umno dan PH semakin serasi dan ia dapat dilihat dengan pembabitan parti itu dalam penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera.
“Itu bukti kerajaan perpaduan komited. Umno akan menilai kedudukannya dalam kerajaan jika ada unsur tikam belakang,” ulas Puad Zarkashi lagi.
Terdahulu, Mahiaddin pada Ahad lalu berkata, kekalahan BN pada PRK Kemaman memberi amaran kepada Umno supaya menilai semula kerjasama mereka dengan PH.
Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa bahawa keputusan kekalahan ini menunjukkan trend penolakan pengundi BN yang kononnya berpunca daripada kerjasama parti itu dengan PH.
Pada PRK Kemaman, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, mewakili PAS menewaskan calon BN Raja Affandi Raja Mohamed Noor dengan majoriti 37,220 undi.
Sementara itu, seorang lagi MKT Umno iaitu Razlan Rafii berpendapat bahawa ‘seruan’ Muhyiddin ini bukan penyelesaian untuk mengekalkan ketenangan rakyat mahupun kestabilan negara.
Hal ini kerana, ‘perjanjian kestabilan’ yang telah ditandatangani antara parti PH dan BN ketika menubuhkan kerajaan perpaduan tidak akan terjejas dengan keputusan mana-mana pilihan raya kecil.
“Apa sahaja yang Mahiaddin utarakan itu tidak lain dengan apa yang mereka lakukan masa mencipta kerajaan ‘tebuk atap’ sebelum ini yang membawa kesengsaraan kepada rakyat.” Jelas Razlan.
Baca juga: Pelakon senior wanita didakwa ganggu rumahtangga orang, pengadu beri hint “pandai menangis depan tv”