Malaysia Dateline

Umno akan paling banyak tercedera jika Dr Afif menjadi KP Jasa

Jika benar Belanjawan 21 diluluskan, Jasa berjaya dibentuk semula dan Dr Afif Bahardin menjadi ketua pengarahnya, pihak yang akan paling banyak tercedera adalah Umno.

Kicauan dari Dr Afif tentang Jasa ketika di bawah Umno.

Ini kerana, Dr Afif adalah pihak yang paling keras menentang Jasa dan Umno ketika badan propaganda itu berada di bawah kerajaan Barisan Nasional dan ketua pengarahnya dari Umno.

Sejak Oktober 2016 lagi, Dr Afif telah menyerang Jasa melalui twitter beliau.

“Sebenarnya untuk jimatkan wang negara, jabatan seperti Jasa yang jadi macai kepada Umno elok dimansuhkan dan biar dana itu digunakan untuk rakyat.”

Bekas Exco kerajaan negeri Pulau Pinang itu juga menulis, “Perlukah gaji Tun Faizal dan Lokman Adam dibayar dengan duit rakyat?

“Bajet Jasa elok diguna naiktaraf hospital dan gajikan doktober #Bajet2017”.

Tun Faisal dan Lokman Noor Adam adalah dua operator media yang utama untuk Umno sekarang.

Tun Faisal adalah Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa manakala Lokman adalah orang kanan Datuk Seri Najib Razak yang juga Ketua Laskar Siber Malaysia.

Jasa telah dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ia menjadi badan propaganda untuk parti dan pemimpin parti bukan untuk kerajaan dan negara.

Sebahagian besar kakitangannya ditamatkan perkhidmatan atau diserap ke jabatan lain yang berkaitan.

KP Jasa yang terakhir sebelum ia dibubarkan adalah Datuk Dr Puad Zarkashi, bekas ahli Parlimen Muar yang juga bekas timbalan menteri.