Malaysia Dateline

Umno alu-alukan dedah ‘Datuk Seri’ tekan musuh politik guna SB

Umno mengalu-alukan cadangan Ketua Polis Negara yang baharu bersara, Tan Sri Hamid Bador bahawa dia akan dedahkan bagaimana seorang ahli politik berpangkat ‘Datuk Seri’ menggunakan polis cawangan khas (SB) untuk menekan musuh politiknya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, langkah itu dialu-alukan.

“Rakyat amat mengalu alukannya. Semoga ada tindakan susulan oleh PM 8 selepas itu,” kata beliau.

Bagaimanapun Puad meminta agar pendedahan juga dibuat jika perkara yang sama berlaku semasa Pakatan Harapan memerintah.

“Tetapi bagaimana selama 22 bulan ketika PH memerintah. Apakah tidak ada campur tangan poliitik oleh Tun Mahathir ketika itu?

“Mustahil tidak ada. Kalau mahu dedah, biar dedah semua,” kata beliau menerusi facebooknya.

Semasa sidang medianya baru-baru ini, Hamid Bador berkata, dia akan dedah campur tangan politik seorang Datuk Seri tidak lama lagi.

Menurutnya lagi Datuk Seri itu menggunakan Bahagian Cawangan Khas PDRM (SB) untuk menekan musuh politiknya.

Sementara itu, pelbagai pihak berpendapat, tindakan Hamid mahu mendedahkan perkara itu bukan satu berita besar kerana ramai sedar SB sentiasa digunakan oleh pihak pemerintah untuk kerja-kerja politik.

Namun ramai yang menyokong tindakan ini bagi membolehkan fungsi sebenar SB untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dapat dilaksanakan tanpa disibukkan dengan kerja-kerja politik oleh pihak pemerintah.