Malaysia Dateline

Umno: Antara nakhota tempang dengan kelasi derhaka

Isnin 2 Ogos 2021 adalah antara hari bersejarah bagi demokrasi di Malaysia. Tarikh ini merupakan tarikh di mana Perdana Menteri yang merupakan Ketua Majlis Parlimen telah mengarahkan supaya Mesyuarat Khas Parlimen ditangguhkan buat sekian kali.

Alasannya kerana Covid-19. Dilaporkan, hasil saringan terhadap 1,183 individu mendapati sejumlah 11 kes positif telah dikesan pada 29 Julai 2021 iaitu 10 kes melalui RTK Ag saliva test dan satu melalui RT PC.

Maknanya, sebanyak 0.93 peratus positif sahaja dikesan dan Parlimen mempunyai tiga hari antara 30 Julai hingga 1 Ogos untuk disanitasi sepenuhnya serta impak risiko boleh dinilai dalam tempoh itu.

Untuk rekod, sebelum sidang bermula pada 26 Julai 2021, seramai 2,093 individu telah menjalani saringan terdiri dari Ahli Parlimen, pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat dan pegawai pengiring. 56 daripada mereka telah disahkan positif, iaitu sebanyak 2.66 peratus.

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan pada ketika itu menyatakan bahawa: “Hasil siasatan dan penilaian risiko dijalankan setakat semalam, kes positif itu tidak mempunyai kaitan epidemiologi antara satu sama lain”.

Kajian impak risiko antara 0.93 peratus dengan 2.66 peratus itu telah menyumbang kepada rumusan kontradik dari sudur sains dan data. Wallahu hu a’alam jika penilaian tesis Doktor Falsafah (PhD) dalam analisis antara dua rumusan data risiko ini membolehkan calon dianugerahkan ijazah PhD!

Malam kelmarin 1 Ogos 2021, 30 MP BN (maklumat satu mazhab lagi hanya 19) telah mengadakan majlis makan malam melalui satu pertemuan sulit.

Khabarnya pertemuan sulit itu telah dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Penyokokong BN, Datuk Seri Shahidan Kassim. Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno turut memberikan ucapan alu-aluan.

Semenjak dua tiga hari ini suara Nakhoda Umno iaitu Datuk Seri Dr Zahid Hamidi tidak kedengaran, malah tenggelam atau sengaja ditenggelamkan.

Ke manakah nakhoda Umno hingga menyebabkan ‘kru’ atau awak-awaknya belayar membawa bahtera Umno entah ke arah mana? Mungkin sedang melangkah menyeberang ke bahtera musuh dan seterusnya membedil kapal sendiri dan meranapkan bahteranya yang asal.

Perjumpaan sulit Ahli Parlimen Umno-BN seperti didakwa umpama sebuah kapal di mana Temenggong bahtera, Jurubatu , Tukang-Kanan, Tukang-Kiri, Tukang Agong dan Sida-sida telah menongkah arus laluan pelayaran nakhodanya.

Nakhoda pula seperti menopang dagu tidak membetul arah bahteranya.

Awak-awak bahtera Umno pula ada yang duduk di anjung bahtera, ada yang di‘buritan’, ada yang di lunas kapal namun nakhoda tidak kelihatan pula di anjungan (bridge) kapal untuk memberi arahan mengemudi.

Malah ada yang mengangkat sauh tanpa restu nakhoda, ada yang mengibar layar tanpa tahu arah angin dan kemudi pula diatur tanpa arah tujuan. Itulah perumpamaan Umno-BN masa kini.

Dalam keadaan politik masa kini yang berasaskan politik berilmu dan berpengetahuan, naratif tidak profesional tidak menggambarkan dinamika masyarakat Malaysia.

Naratif politik masa kini adalah politik keterbukaan dengan meletakkan perlembagaan di atas dan menempatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah pada keistimewaan yang telah diberikan kepada baginda sebelum dan selepas kemerdekaan. Ini tidak boleh dipandang ringan.

Apa pun hujah yang diberikan, Malaysia tetap negara dengan Raja Berperlembagaan dengan peranan baginda bukanlah hanya sebagai ‘rubber stamp’ tetapi baginda mempunyai kedudukan dan hak-hak tertentu yang dilindungi oleh perlembagaan.

Dalam krisis perlembagaan masa kini dan ditambah dengan kegagalan berterusan sepanjang tempoh darurat, adakah Umno-BN masih mahu duduk sebaris dengan kerajaan gagal?

Adakah kepimpinan Umno akan berani membuat keputusan untuk meninggalkan kerajaan dan Perdana Menteri serta merta?

Sanggupkan Umno meninggalkan semua kluster menteri yang ingkar dan hanya mementingkan kedudukan? Mampukah Umno membuat keputusan drastik memecat kluster yang berkeras untuk kekal bersama Mahiaddin selaku Perdana Menteri dan mendokong kerajaan gagal?

Kepimpinan Umno perlu membuat keputusan. Kenapa?

Kerana dengan hanya menolak Perdana Menteri dan kekal dalam kerajaan PN adalah suatu keputusan yang paling bengap dan menggambarkan Umno tamak kuasa.

Mereka tidak mahu berganjak kepada politik kesatuan dan kebaikan melainkan hanya untuk terus bersama menganggotai Kabinet gagal dan kumpulan biadap seperti kebiadapan mengingkari titah Agong.

Tidakkah Umno faham selepas menerajui negara sejak kemerdekaan, bahawa Kabinet bukan hanya melibatkan Perdana Menteri.

Keputusan Kabinet adalah keputusan bersama secara konsensus. Gagal bukan bermakna Mahiaddin seorang yang gagal tetapi kegagalan seluruh anggota Kabinet dan khususnya pentadbiran kerajaan yang gagal.

Cara terbaik bagi Umno bukan sahaja mendesak Mahiaddin berundur, tetapi perlu mendesak Mahiaddin meninggalkan kerajaan gagal PN serta merta. Ini kerana, mendesak Mahiaddin berundur tidak akan menyesaikan masalah.

Desak beliau tinggalkan kerajaan agar ia dapat diserahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk menentukan yang terbaik bagi negara ini, sama ada penubuhan kerajaan perpaduan ataupun melantik seorang Perdana Menteri interim. Calonnya sudah pasti bukan Timbalan Perdana Menteri sekarang (Pak Long Mail) atau bekas Perdana Menteri yang lalu!

Pimpinan dan ahli Umno perlu matang dan menempatkan diri di alaf 21, bukan duduk dalam kejumudan pemikiran dan ketaksuban.

Seluruh rakyat termasuk ahli Umno berlu beranjak dari pemikiran politik kolot, jumud dan tidak berjiwa Malaysia.

Jika Umno kekal menolak Mahiaddin dan kekal mendokong kerajaan gagal PN sebagai ratib politiknya, maka sedarlah Umno sedang berada di pinggir-pinggir keruntuhannya.

Kita mahukan sebuah kerajaan yang berdaya maju dengan mendaulatkan Agong dan Raja-raja Melayu. Kita mahu negara yang bergerak menuju ke alaf baharu, mendokong perpaduan masyarakat berbilang kaum dan membawa negara kepada solusi terbaik pandemik kepada endemik, serta meneraju kembali ekonomi dan pembangunan negara.

Kekal mendokong PN bermakna kita akan kekal gagal! Nakhoda Umno harus berani dan biarlah kelasi-kelasi derhaka terjun dengan labu-labunya.

——————–

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Tulisan ini adalah merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.