Malaysia Dateline

Umno antara penjajaran baharu dan penjajaran semula politik

Penarikan sokongan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) menandakan wujudnya sekumpulan ahli Umno yang akan membawa kepada kejatuhan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Adakah kita akan menantikan beberapa ahli parlimen Umno mengikut jejak Jazlan pula? Jika lima ahli parlimen bertindak ikut langkah Jazlan kerajaan PN telah kehilangan majoriti tipis.
Awal bulan ini, Ahmad Jazlan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Pada 15 Disember lalu, seramai 111 Ahli Parlimen menyokong meluluskan Belanjawan 2021 dalam Dewan Rakyat, manakala 108 menolaknya dan seorang tidak hadir.

Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen, berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan dan Gerik.

Meskipun hanya ditunjangi 110 Ahli Parlimen, kerajaan PN masih dianggap berdiri disebabkan faktor perpecahan dalam blok pembangkang.

Blok utama pembangkang diketuai Pakatan Harapan (PH), hanya mempunyai 91 Ahli Parlimen, manakala 17 orang terdiri daripada Bebas dan Warisan, tidak menyertai blok terbabit.

Persoalan besar dan utamanya mahu ke mana Umno jika berlaku penarikan mereka secara rasmi daripada PN? Kemungkinannya kita harus tunggu jawapan dalam perhimpunan agong Umno nanti pada 31 Januari ini. Tetapi dengan situasi kritikal C-19 dapatkah perhimpunan itu diadakan?

Apakah Umno sedang menuju ke arah penjajaran baharu sebagaimana yang disebutkan oleh bekas Menteri Bekas Selangor Dr Mohamad.Khir Toyo. Katanya Umno sebagai sebuah parti yang berpengalaman sepatutnya memulakan usaha untuk membina jajaran baru dengan parti-parti yang mempunyai kerusi parlimen terbanyak.

Bukan Umno tidak pernah membuat penjajaran baharu politikTidak terbatas kepada penjajaran baharu politik kerana Umno telah mengorak langkah bersama PN. Umno yang telah memerintah sejak kemerdekaan Malaysia tentu tidak selesa berada di blok pembangkang dan kerana keengganan ini membuatkan Umno membuat penjajaran politik baharu bersama Perikatan Nasional (PN) tetapi nampaknya tidak membuahkan hasil seperti mana yang diharapkan Umno.

Umno bersikap dingin dengan Bersatu kerana merasa diremehkan berdasarkan cara mereka dilayan oleh Bersatu kerana parti itu telah membantu bergabung dalam pembentukan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pendedahan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan melegitimasikan sebab utama Umno tidak puas hati dengan kerajaan PN kerana langkah PN untuk meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan para pemimpinnya.

Ahmad – salah seorang pemimpin Umno yang dihadapkan ke mahkamah – berkata perkara itu sebenarnya mengatasi rasa tidak puas hati Umno dalam soal agihan jawatan dalam kerajaan.

Umno seolah-olah telah berkorban ketika membuat keputusan untuk menyokong Muhyiddin dan Bersatu, yang merupakan bekas pesaing politik mereka.

Sebab lain seperti ahli Parlimen Umno tidak mendapat jawatan Kabinet yang sepatutnya malah kerusi Timbalan Perdana Menteri pun ditiadakan di mana Umno merasakan itu dalah hak mereka. Inilah inti pati rasa tidak puas hati Umno.

Apa yang masalah dalam penjajaran politik ini ialah dua gabungan besar dalam satu gabungan besar yang lain kerana ada Barisan Nasional dan Muafakat Nasional di dalamnya. Inilah yang mencetuskan permasalahan dalam legitimasi penjajaran baharu tersebut Umno dengan agendanya dan Bersatu dengan agendanya pula. PAS pula cuba mencari keseimbangan dalam tiga penjajaran ini (bersama PN juga) tetapi akhir-akhir melihat penjajaran PAS banyak tertumpu kepada Bersatu pula.

Atau adakah Umno sedang menuju ke arah penjajaran semula politiknya? Terdapat perbezaan antara penjajaran baharu politik dan penjajaran semula politik.

Apabila disebut penjajaran baharu, Umno mencari persefakatan baharu dalam membentuk kerajaan seperti telah dilakukan bersama PN. Sekarang ini oleh kerana rasa tidak puas hati terhadap layanan Bersatu, Umno mahukan penjajaran baharu semula politiknya. Ini bermakna kemungkinan Umno harus bergabung dengan musuh politiknya seperti DAP dan PKR. Adakah ini bermakna Umno harus meninggalkan PAS dan membatalkan permuafakatannya dengan PAS. Adakah PAS akan bersetuju dengan langkah Umno ini kerana PAS akan kehilangan kuasa jika bersetuju dengan Umno.

Dalam krisis politik Perak telah berlaku apa yang dikatakan penjajaran semula di mana DAP dikatakan telah menyokong Umno dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan Bersatu.

Tetapi bersediakan Umno terhadap penjajaran semula politik? Apa yang dimaksudkan dengan penjajaran semula politik ialah memiliki prinsip pertanggungjawaban dan menolak politik memenuhi tuntutan nafsu dalam menunggang kuasa untuk mengamalkan kronisme dan nepotisme. Penjajaran baharu politik harus membuang kedua amalan-amalan tersebut yang menyebabkan tertubuhnya kerajaan kleptokrasi.

Oleh itu dalam penjajaran semula poliitk segala amalan politk yang merupakan wahana atau tiket mengaut kekayaan dan penyalahgunaan kuasa harus disingkirkan. Dalam hal ini prinsip kuasa yang dimaksudkan adalah suatu amanah, prinsip memerangi rasuah, penyelewengan dan mengutamakan urustadbir yang baik.

Perkara ini telah dijelaskan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama dahulu, Bagi Anwar sesiapa sahaja boleh diundang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad harus memastikan tiada agenda peribadi yang akan menyebabkan kehancuran seperti berlaku sebelum ini.

“Itu terserah kepada PH, sesiapa pun kita boleh undang tetapi patuh pada prinsipnya, bukan bawa agenda peribadi dan kebobrokan yang lama.

Bagi Anwar “fokus isu adalah menjamin satu keadaan lebih baik bagi negara kita, ekonominya dan keselesaan rakyat,” katanya ketika pemberita selepas majlis peluncuran buku “100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008 hingga 2011 baru-baru ini.

Oleh itu penjajaran semula politik yang dimaskudkan ialah tidak akan dilakukan secara membuta tuli dengan mengetepikan nilai-nilai luhur dna murni yang diperjuangkan dalam persepakatan menghadapi pilihan raya atau membentuk kerajaan.

Seperti dijelaskan oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian bahawa asas kepada politik Malaysia, yang pertama, politik angka. Kedua, mengakui politik adalah seni segala kemungkinan dan ketiga, tidak ada kawan atau lawan yang tetap tetapi hanya kepentingan.

Oleh itu dalam seperti dinyatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,perjalanan politik negara ini, bila bercakap tentang pilihan raya sukar untuk kita jangkakan sebuah parti akan menguasai kerusi majoriti. Kerana itu kita perlu berkawan. “Dalam proses berkawan itu kalau perlu berkawan dengan pihak yang dulunya menjadi lawan maka kita perlu melakukan perubahan itu”.

Dalam hubungan ini ini juga bermakna Umno bukanlah parti dominan lagi, Umno tidak lagi boleh membuat keputusan dan rakan-rakan yang akan lain ikut. Jika Umno bersedia untuk membuat penjajaran semula politik, Umno adalah rakan bersama dalam sebuah Pakatan dan Konsensus dan segala keputusan yang dibuat oleh pihak lain jika Umno harus akur kerana Umno tidak memiliki majorti seperti kedudukan prerogetif yang dimilikinya dalam Barisan Nasional (BN).

Adakah tujuan Umno untuk menyertai PH mahukan layanan seperti yang diungkapkan mereka berlaku dalam PN? Anwar telah menerangkan supaya mematuhi prinsip dan tiada agenda peribadi.

Jika Umno menyertai PH, Umno adalah parti gabungan baharu yang `junior’ harus akur kepada abang besar PKR apa lagi DAP. Sanggupkah Umno berbuat demikian. Jika Umno sekadar PHplus harus akur dengan prinsip PH juga. Malah jumlah kerusi Umno, PKR dan DAP adalah lebih kurang sama sahaja iaitu Umno (39) PKR (39) dan DAP (42). Oleh itu layanan apakah yang Umno harapkan.

Ahli akar umbi Umno pasti pening kepala kerana setelah puluhan tahun melawan Anwar Ibrahim dan momokan DAP yang anti Melayu dan parti komunis kini ahli-ahli Umno dihidangkan dengan cadangan untuk memeluk Anwar dan berdakap dengan DAP dalam satu kerajaan.

Akhirnya, akar umbi Umno sedang menantikan strategi, pelan tindakan dan hala tuju dari pimpinan parti itu untuk digembelingkan dalam usaha mereka untuk kembali menang pada PRU akan datang, setidak-tidaknya mencatatkan prestasi lebih baik berbanding PRU14.

Oleh itu tidak adakah Umnode dengan penjajaran semula politiknya akan bekerjasama dengan parti lain dalam membentuk kerajaan baharu. Maka adakah Umno akan menempa sejarah bekerjasama dengan DAP secara rasmi?

Apakah sebenarnya objektif Umno sekarang? Umno seperti kehilangan arah atau telah “mamai” kuasa yang telah terlepas pada PRU-14. Atau adalah dibimbangi Umno telah jatuh ke dalam permainan naratif pihak-pihak tertentu, suatu gerakan perang saraf bahawa “UMNO akan bersama DAP dan Pakatan Harapan” ini sebelum PRU-15 supaya Umno mudah berpecah?

Walau apapun kita harapkab penjajaran baharu atau semula parti-parti politik ini dapat membawa keamanan, kestabilan dan kecekapan urus tadbir dan tata kelola yang baik kepada masa hadapan negara terutamanya ketika berhadapan dengan situasi C-19 dan keadaan ekonomi yang meruncing ini.

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)