Malaysia Dateline

Umno-Bersatu: ‘Bagai kekasih gelap, bila-bila masa akan ditinggalkan’

Hubungan antara Bersatu dan Umno seperti menyimpan kekasih gelap, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang mahu terus berkerjasama dengan Bersatu dalam kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Ini perumpamaan seorang yang mempunyai kekasih gelap atau skandal yang akan ditinggalkan bila-bila sahaja demi kepuasan nafsu semata-mata.

“Keputusan Umno semalam pastinya membuat banyak pihak tertanya-tanya apakah matlamat perjuangan parti itu dalam kerajaan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ahli Parlimen itu berpendapat tindakan sabotaj antara Umno dan Bersatu pasti akan berlaku jika hubungan ‘kekasih gelap’ itu terus berlangsung.

“Bagaimana mereka boleh berkerjasama hari ini sedangkan mereka mempunyai matlamat yang berlainan pada masa akan datang?

“Bayangkan, Bersatu dan Umno yang akan bertanding pada kerusi yang sama, pastinya hal-hal berkaitan kedua-dua parti itu tidak akan selesai.

“Sebabnya, Bersatu dan Umno mahu membina pengaruh sendiri lantas sabotaj boleh berlaku secara terang-terang,” tegasnya.

Salahuddin berkata, keadaan kerajaan hari ini tidak akan stabil apabila berlakunya sabotaj yang akan menggugat segala agenda rakyat.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan keputusan Umno itu telah meranapkan harapan rakyat kepada kerajaan kerana kerapuhan gabungan tersebut.

“Rakyat kini mengharapkan kerajaan yang stabil bagi membela nasib mereka namun apa yang berlaku, keputusan dari Umno itu telah meranapkannya.

“Ketidakstabilan ini akan membawa bencana kepada negara. Bukan sahaja dari segi sosial malah membabitkan soal ketidakyakinan pelabur dengan keadaan ini serta kesannya pasti akan berlaku kepada ekonomi.

“Ini bukanlah suatu keputusan yang bernas. Ternyata hubungan kekasih gelap ini akan terputus pada bila-bila masa apabila sesuatu yang berbangkit antara kedua-dua pasangan itu berlaku,” tegasnya lagi.