Malaysia Dateline

Umno-Bersatu: Siapa ‘abang’ lebih besar?

Politik di Malaysia banyak telah berubah setelah kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang berlangsung tahun 2018.

Uniknya, kedudukan parti-parti komponen dalam gabungan itu ketika itu, dilihat setara dan tiada satu parti pun boleh dikatakan bersifat dominan berbanding yang lain.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Itulah kecantikan politik dalam PH, yang mana, tiada parti yang boleh mendabik dada mengatakannya sebagai ‘big brother’ atau abang besar.

Semua parti terlibat adalah rakan saksama dalam pakatan tersebut. Semua keputusan besar dalam PH dibuat dalam Majlis Presiden PH.

Sepertimana pernah disebut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 2017, ‘dalam PH tidak ada soal abang sulung atau pun adik bongsu, tak ada sesiapa lebih besar dalam Pakatan’.

Anthony menambah, gabungan itu bukan Barisan Nasional (BN) 2.0 yang mana, di dalamnya semua tahu parti paling dominan adalah Umno.

Dalam politik Malaysia, mudah untuk kita berasa ‘terbiasa’ dengan apa yang disebut sebagai dominasi hegemoni parti politik tunggal.

Umno menerusi gabungan BN telah memerintah negara selama lebih 60 tahun. Umnolah yang menjadi parti tunjang kerajaan ketika itu yang mana, perdana menteri datang daripada kalangan presidennya.

Dengan erti kata lain, Umno pada ketika itu secara semula jadinya ialah ‘abang besar’ dalam kerajaan ketika itu.

Pada tahun lalu, Umno telah bersama dengan kumpulan serpihan PH untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekali gus menjatuhkan kerajaan PH.

Mengikut laman web Parlimen, Umno merupakan parti terbesar dalam gabungan itu dengan 38 orang ahli Parlimen (MP) berbanding Bersatu dengan 31 MP.

Walau bagaimanapun, Bersatu dilihat mempunyai lebih ramai menteri iaitu 11 orang termasuk perdana menteri berbanding Umno dengan hanya sembilan orang.

Tambahan pula, sebahagian besar kementerian penting juga di bawah tanggungjawab MP Bersatu iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sementara itu, Umno pula hanya mengetuai satu kementerian penting iaitu Kementerian Pertahanan.

Perbezaan ketara juga dapat dilihat apabila dua orang daripada empat menteri kanan datangnya daripada Bersatu manakala Umno hanya mempunyai seorang wakil sebagai menteri kanan.

Umno di dalam gabungan PN juga mencatat sejarah apabila presiden, timbalan presiden, dan dua naib presidennya tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Kabinet. Perkara ini semestinya tidak pernah berlaku sebelum ini.

Hanya seorang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada dalam Kabinet PN.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa Bersatu adalah parti peneraju utama kerajaan ketika ini.

Walaupun berlaku tindakan menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN oleh beberapa MP Umno sebelum ini, namun kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berdiri sehingga hari ini.

Persoalannya kini, ketika kita memasuki ‘musim pilihan raya’ tidak lama lagi, apa bentuk kerjasama atau pertembungan yang pengundi dapat jangkakan antara dua parti ini? Adakah parti-parti ini akan mengguna pakai kaedah ‘every man for himself’ atau memikirkan formula pembahagian kerusi tertentu?

Kerusi PRU-15

Ini kerana menjelang PRU-15, kita pasti tidak dapat mengelak daripada berbicara soal kerusi. Isu pembahagian kerusi PRU adalah satu perkara serius dan sensitif yang menuntut parti-parti yang bekerjasama dalam sesebuah gabungan untuk membincangkannya dengan berhati-hati, umpama ‘menarik rambut di dalam tepung’.

Sebab itu, sukar untuk melihat bagaimana Umno dan Bersatu akan bersetuju dengan sebarang formula pembahagian kerusi.

Jika diimbau kembali pada pilihan raya umum lalu, Umno, PAS dan Bersatu bertanding di 47 kerusi Parlimen di Semenanjung pada PRU-14 termasuk di Parlimen Titiwangsa dan Ketereh.

Di Titiwangsa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dari Bersatu, mengalahkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani iaitu bekas Menteri Kewangan Kedua.

Parlimen Ketereh menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan kini, Tan Sri Annuar Musa dari Umno telah mengalahkan Menteri Pendidikan sekarang, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin dari Bersatu (kemudiannya dilantik Senator).

Jumlah 47 kerusi Parlimen itu juga merangkumi kerusi MP Umno yang kemudiannya keluar parti dan memasuki Bersatu selepas PRU-14 seperti Jeli melibatkan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Larut (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin), Mersing (Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dan Masjid Tanah (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mas Ermieyati Samsudin).

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dalam artikelnya bertajuk ‘Dilema Umno dalam Kerajaan PN’ tahun lalu telah memberitahu bahawa sukar untuk dibayangkan Umno berasa positif mengenai ‘pembelot-pembelot’ ini apatah lagi berunding dengan Bersatu untuk membolehkan MP Bersatu ini terus bertanding di kerusi-kerusi ini dengan sokongan Umno dan PAS.

Di samping itu, katanya, Kabinet yang ada sekarang juga menampilkan bekas ahli parlimen PKR yang bergabung dengan Bersatu yang mana, kerusi yang ditandingi mereka sebelum ini turut ditandingi oleh Umno dan PAS pada PRU14 termasuk Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Indera Mahkota (Datuk Saifuddin Abdullah), Bandar Tun Razak (Datuk Kamaruddin Jaafar), Batu Pahat (Datuk Mohd. Rashid Hasnon) dan Nibong Tebal (Datuk Mansor Othman).

Kian Ming menambah, sekali lagi, sukar untuk melihat Umno atau Pas memberi laluan kepada MP Bersatu tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Situasi di Perak dan Terengganu

Baru-baru ini Umno Perak telah memberi kata dua kepada Bersatu supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi Umno pada PRU-14.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi Umno pada PRU-15 akan datang.

Di Terengganu pula, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak akan memberi peluang kepada Bersatu mahupun Pas, sebaliknya akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu menegaskan, tidak berlaku sebarang kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas di negeri itu, selain tidak menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk membolehkan parti itu mengalah kepada Bersatu.

Kedua-dua kenyataan pemimpin Umno di Perak dan Terengganu ini seolah-oleh memberi gambaran bagaimana berlikunya perjalanan Bersatu di kedua-dua negeri itu pada PRU-15 kelak.

Secara umumnya, pilihan raya umum akan datang boleh diibaratkan sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ yang bukan sahaja penting kepada Umno dan Bersatu, tetapi juga buat parti-parti lain.

Persoalannya, siapakah akan merangkul takhta ‘abang besar’ selepas ini?

Atau adakah kita akan memasuki fasa politik di mana terbinanya gabungan politik yang lahir daripada semangat kerjasama dan bukannya dominasi abang besar?

Jawapannya kita perlu tunggu pada pilihan raya umum akan datang.