Malaysia Dateline

Umno-Bersatu: Siapa pijak siapa di Johor?

Kita boleh kata Umno pijak Bersatu di Johor apabila jawatan lantikan politik yang berat sebelah memenangkan Umno berlaku. Ramai yang memandang dan melahirkan rasa simpati kepada Bersatu kerana gagal mendapat jawatan yang diidamkan.

Apa nak hairan, sebelum ini pun Bersatu memang khianat pada rakan mereka dalam Pakatan Harapan (PH). Sekarang berilah peluang rakan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) untuk khianati mereka. Dunia ini ibarat roda akhirnya pulang paku buah keras yang dapat.

Simpati pada Bersatu itu perlu ada bagi ahli Bersatu tapi layakkah Bersatu untuk bersedih?

Setelah apa yang dibuat Bersatu pada Umno di PRN Sabah sepertimana yang didedahkan oleh orang Umno sendiri berlakunya sabotaj yang dilakukan Bersatu kepada Umno.

Apa yang Umno buat di Johor hanyalah sebagai ‘self defend’ mereka kerana Umno ini lebih kenal Bersatu yang juga dari sisa najis parti tua itu.

Pastinya lantikan jawatan ini tidak diberikan kepada Bersatu secara beramai-ramai kerana ia akan menguatkan Bersatu untuk mensabotaj Umno pula.

Perlu Umno untuk tidak melantik ahli Bersatu menjadi Ketua Kampung dan sebagainya. Sebelum ini telah dimaklumkan dalam beberapa tulisan saya yang menjelaskan terdapatnya sabotaj dan huru-hara di peringkat dalaman antara Umno dan Bersatu.

Kini jelas apa yang berlaku. Secara tiba-tiba barulah orang Johor pandai mengeja nama Ketua Armada Johor kerana sebelum ini mungkin beliau bersembunyi di balik jawatan sahaja. Juga turut disambut oleh bekas MB terpendek dalam sejarah Johor, Sahruddin Jamal.

Apa yang dibisingkan oleh Sahruddin semalam berkenaan dengan tiada perbincangan bersama untuk melantik Ketua Kampung di Johor ini.

Nah, jelaslah Sahruddin juga mula gelisah dengan keadaan yang berlaku tidak seperti yang diimpikan selepas dia sendiri tidak mendapat sokongan dari Adun Bersatu untuk dilantik semula menjadi MB sebelum ini.

Dengar khabar juga, semalam Muhyiddin anak Kiyai Yassin ada memanggil MB Johor Hasni bagi membincangkan kemelut yang berlaku. Tunggu dan lihat apa lagi drama yang akan berlangsung pastinya ia akan menjadi ‘meletup’ tidak lama lagi.

Kerjasama rapuh ini akan membuahkan hasil yang luar biasa pada masa terdekat ini. Belum lagi mulut Nur Jazlan anak Tok Mat bersuara dan terbaharu, Khaled sudah menganjing Sahruddin MB terpendek itu hari ini. Plot yang semakin menarik.