Malaysia Dateline

Umno terus berusaha tubuh kerajaan Perak bersama Bersatu dan Pas

Umno tetap mempertahankan usahanya untuk menubuhkan kerajaan negeri Perak bersama Bersatu dan Pas, kata presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Bernama, Zahid juga telah mempersembahkan nama calon parti itu untuk jawatan MB Perak kepada Sultan Nazrin Shah pagi ini.

Zahid juga berkata, calon MB Perak itu mendapat undi majoriti dari kalangan Adun Negeri Perak yang berjumlah 59 anggota itu, lapor agensi media kerajaan itu.

Sebelum ini, media melaporkan, pihak istana mahukan kerajaan negeri Perak yang bakal dibentuk hendaklah stabil dan mendapat sokongan pelbagai pihak.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula berkata dia telah menulis kepada rakan sejawatnya dalam Bersatu dan Pas agar mempertahankan kerajaan PN di Perak.

“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pas(Takiyuddin Hassan) dan Setiausaha Agung Bersatu (Hamzah Zainudin) pada Selasa 8 Dis 20 berhubung keputusan mesyuarat khas MT Umno malam 7 Dis 20.

“Bahawa kerajaan PN yang terdiri daripada Adun Umno, PAS dan Bersatu di Perak perlulah diteruskan,” katanya menerusi Twitter beliau.

Ahmad Maslan berkata kedua pemimpin itu telah menjawab suratnya pada petang hari ini.

“Intipati jawapan surat setiausaha agung Pas dan setiausaha agung Bersatu ialah keputusan berhubung kerajaan PN di Perak akan dibincang dengan pimpinan parti mereka dengan segera.

“Saya optimis dan positif. Semoga Pas dan Bersatu akan bersama Umno di Perak. Diharap segalanya akan selesai dengan baik dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Petang tadi, pucuk pimpinan Pas mengarahkan agar tiga Adun Pas di Perak tidak pergi menghadap Raja Nazrin kerana keputusan belum dibuat oleh Pas mengenai sikap mereka di negeri itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas telah memaklumkan Pas tidak akan menyertai kerajaan baru di Perak selepas Umno bersama PH menggulingkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Faizal Azumu itu.

Namun begitu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Pas sedia untuk terus bekerjasama dengan Umno di Perak.

“Kita akan berbincang, Insya-Allah,” katanya.