Malaysia Dateline

Umno-BN amal politik hipokrit mahu jadi wira tapi penyamun

Rakyat perlu tahu bahawa Umno-BN mengamalkan politik kepura-puraan dengan mahu muncul sebagai penyelamat walaupun realitinya masih bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad mengingatkan agar rakyat tidak terpedaya dengan taktik licik Umno-BN itu kerana segala masalah yang dihadapi sekarang berlaku di bawah pemerintahan PN dan BN bukan hanya PN semata-mata.

“(Seolah-olah) Umno tidak bersalah, yang salah PN maka perlu sokong Umno dan Pas. Padahal, sekarang ialah kerajaan PN-BN bukan sekadar PN.

“Inilah politik hipokrit, kepura-puraan. Mahu jadi wira, kamu (Umno-BN) juga penyamun yang mahu menyamun,” bidasnya dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 105) semalam.

Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan menegaskan ahli-ahli Parlimen dan menteri-menteri Umno masih kekal dalam kerajaan PN walaupun akar umbi Umno menggesa pimpinan mereka keluar Kabinet.

“Kalau Umno-BN keluar dari kerajaan memang kerajaan PN jatuh.

“Tapi bagaimana dikatakan Umno keluar (dari kerajaan) sedangkan menteri-menteri Umno masih bersama (dalam kerajaan PN)?

“Mereka (Umno) seolah-olah mahu jadi kerajaan dan pembangkang. Dua-dua Umno mahu.

“Sebagai pembangkang dia bangkang Muhyiddin tetapi sebagai kerajaan, Umno mendapat manfaat hasil kebersamaan dengan Muhyiddin,” ujarnya dalam slot bertajuk, “Sekarang kerajaan PN atau PN-BN?” itu.

Khalid Samad bersama moderator, Shaiful Roseman dalam FB Live menerusi Jom Channel.

Oleh sebab itu, Khalid turut berpendapat hal tersebut sebagai permainan politik tidak bertanggungjawab yang menunjukkan sifat sebenar putar belit Umno.

“Dia (Umno) tidak boleh dipercayai, buat gambaran seolah-tidak tidak bersama PN tetapi hakikatnya Umno masih bersama PN. Jangan tertipu.

“Umno mahu mendapat manfaat menjadi sebahagian daripada kerajaan tetapi mereka tidak mahu mengaku bersama kerajaan.

“Inilah jenis politik yang licik sambil menyelam minum air. Dia kutuk kerajaan PN seolah-olah PN tidak bergantung pada sokongan mereka dan Umno bukan sebahagian dari kerajaan,” tegasnya menerusi FB Live di saluran Jom Channel.

Untuk rekod, Kabinet bersaiz XXL diterajui Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin termasuk 14 ahli Parlimen Umno yang dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.

Kesemua mereka terbabit kekal dalam kerajaan PN selepas mendapat mendapat ‘nasihat’ Mahiaddin dalam pertemuan dengan Pengerusi PN itu pada 30 Mac lalu iaitu sehari selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020).