Umno BN perlu ambil kira 5 ketetapan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah kerajaan yang kuat.
PH memiliki 82 kerusi dan ia wajar diberi tugas sebagai tonggak pemerintahan selari dengan hasrat teratas pengundi Malaysia berdasarkan bilangan kerusi.
Umno BN yang memenangi 30 kerusi dan digabungkan dengan PH menghasilkan majoriti mudah sekali gus kemasukan Umno boleh meredakan kebimbangan tentang dominasi DAP dengan tambahan MP Melayu dari Umno.
“Sekali dua gabungan ini bersama, parti lain InsyaAllah akan bersama,” kata Husam Musa di Facebooknya.
Menurut Husam 5 ketetapan ini perlu diambil kira Umno BN iaitu;
- Tan Sri Muhiaddin pernah isytihar Umno BN musuh utama Perikatan Nasional (PN). Ismail Sabri pula menganggap ada menteri dari PN ibarat menikam belakang beliau.
- Pembentukan kuasa lebih mudah antara 2 parti sahaja. Kabinet boleh dikecilkan. Kedudukan BN lebih diraikan berbanding PN dan gabungan lain yang lebih rencam dan rumit. BN tidak akan menerima komposisi besar dalam kabinet PN kerana banyak komponen.
- Jajaran kuasa PH dan BN tidak bertembung dalam kawasan pilihan raya. Berbanding dengan PN, Pas dan Bersatu akan halang kebangkitan BN.
- Kerajaan Pahang dan Perak dapat dibentuk dengan mudah antara PH dan BN.
- Umno sendiri kena bersedia membina imej dan jati diri baru yang lebih diterima rakyat. Kemudian, semua parti lain boleh dijemput menyertai Pemerterian Emas Negara Malaysia.
Menurut Husam usaha gabungan ini umpama konsep Jepun – KINTSUGI – atau Tampalan Emas/Golden Jointnery beberapa tahun yang lalu.
Ia sesuatu yang berharga yang pecah, ditampal dengan ‘tampalan emas’ untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berharga.
“Malaysia kini tidak memiliki gabungan tunggal membentuk kerajaan.
“Ibarat tembikar mahal yang retak. Memerlukan keterbukaan dan kemahiran pemimpin memberi bentuk baru yang bernilai,” ujarnya lagi.
Baca juga: Najib pesan pada BN-Rundingan perlu ambil kira kepentingan jangka masa panjang Umno BN