Malaysia Dateline

Umno cabar buka Parlimen segera jika benar Mahiaddin hormat Agong

Jika benar Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Kabinetnya menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, mereka wajib segera menyokong titah supaya Parlimen bersidang segera.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju, Rafi Awang Kechik berkata, ianya tidak cukup dengan hanya kata-kata mereka yang mengisytiharkan menjunjung titah Tuanku Agong.

“Menteri atau timbalan menteri dan Ahli Parlimen lain tidak cukup dengan hanya mengistiharkan menjunjung titah perintah Raja-Raja Melayu, mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu.

“Kalau betul mereka ini hormat Agong dan Raja-Raja Melayu, berpayung di bawah Daulat Tuanku, mereka wajib segera menyokong titah Tuanku supaya sidang Parlimen dibuka dengan segera.

“Tuanku Agong sedang menguji kesetiaan (PN) pada raja dan negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Umno mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan dikeluarkan parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.