Malaysia Dateline

Umno calonkan MB Perak, hak Tuanku mengumumkan, kata Ahmad Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sebarang pengumuman berkaitan Menteri Besar Perak yang baharu hanya akan dikeluarkan pihak Istana.

Terdahulu, beliau telah selesai menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di Ipoh sekitar jam 10.30 pagi tadi.

“Saya telah diperkenankan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk menghadap and persembahkan surat memohon untuk perkenan bagi mempertimbangkan calon Menteri Besar Perak.

“Pengumuman untuk nama calon MB itu akan dibuat oleh Tuanku sendiri dan sebarang kenyataan selepas ini akan dikeluarkan oleh pihak Istana.

“Biarlah Tuanku sendiri yang akan mengeluarkan pemakluman melalui sebarang kenyataan,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Sultan mempunyai hak untuk mengumumkan calon Menteri Besar selepas menerima cadangan Umno.

“Saya menjunjung titah Tuanku supaya hak untuk mencalonkan itu adalah hak Umno dan BN tetapi hak untuk umumkan calon itu ialah hak mutlak Tuanku dan Istana akan maklumkannya,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan calon yang dikemukakan kepada Istana mendapat majoriti dan mengakui yakin majoriti sokongan itu lebih daripada mencukupi.

Dalam masa sama, beliau yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi itu turut mengumumkan Umno akan kekal dengan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN).

“Saya telah nyatakan bahawa seboleh mungkin kita mempertahankan kesepakatan PN dan kerjasama kerajaan ini adalah antara Umno, Bersatu dan juga Pas,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, kesemua 25 ADUN Umno difahamkan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong penuh wakil rakyat Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad menerajui kerajaan baharu Perak.

Umno mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Perak, iaitu 25 diikuti DAP (16), AMANAH (5), Bersatu (5), PKR (3) dan Pas (3), manakala Gerakan dan Bebas, masing-masing satu kerusi.