Malaysia Dateline

Umno dan Pas buat stim sendiri sahaja, dakwa penulis

Umno dan Pas buat stim sendiri-sendiri sahaja rupanya, kata Shahbuddin.

 

Cubaan Umno dan Pas mahu menarik tokoh-tokoh besar ke dalam parti itu disifatkan sebagai ‘potong stim’ sahaja.

“Umno dan Pas, macam adik-beradik pula jalan ceritanya. Mungkin itulah kejutannya. Sudahnya mereka hanya stim sendiri-sendiri saja,” tulis blogger Shabuddin Husin dalam blognya.

Dua minggu lalu, Umno gah dengan pengumuman satu sidang media khas yang dihadiri Datuk Seri Najib Razak dan semua pimpinan tertinggi parti.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang melawat Perlis diminta memendekkan lawatan dan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri turut dikerah hadir.

“Alih-alih yang diumumkan hanyalah kemasukan Mat Taib ke dalam Umno.

“Betul-betul potong stim punya cerita!!” tulis Shahbudin.

Bagi beliau, cerita Pas lebih kurang sama juga.

Empat hari sebelum Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu, Pas mengumumkan akan berlaku kejutan di mana dua atau tiga tokoh nasional didakwa akan menyertai parti tersebut.

Memetik laporan Harakahdaily, Ketua Penerangan Pas, Nasarudin Hassan dengan wajah tertawa berkata, di malam kemuncak Fasraqim 2.0 pada 30 September ada satu pengisytiharan dua atau tiga tokoh nasional yang sebelum ini berada di luar Pas akan menyertai parti itu.

“Akhirnya apa yang terjadi?

“Tiada sesiapa pun diumumkan masuk Pas sehinggalah berakhirnya malam kemuncak himpunan Fastaqim 2.0, walaupun seorang lagi bekas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim turut hadir,” tulisnya lagi.

Khalid sebaliknya berkata, beliau tidak berhasrat menyertai mana-mana parti.

Dua bekas pegawai tinggi kerajaan yang hadir juga memberitahu tiada hasrat mahu menyertai Pas.

“Juga potong stim punya cerita!!” tulis Shahbuddin.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zakaria Jaafar dan bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahim Che Daud  muncul di pentas Himpunan Fastaqim 2.0.

Mereka bagaimanapun kemudian menjelaskan mereka hanya hadir memberikan sokongan, dan bukannya masuk Pas.

Zakaria yang ditemui wartawan selepas majlis itu menjelaskan beliau sebenarnya hanya hadir memberi sokongan kepada parti itu kerana komitmen menentang rasuah.

“Saya bukan jadi ahli PAS, saya cuma menyokong dan beri nasihat isu rasuah.

“Mungkin ada salah faham di sini. Saya terbuka untuk bercakap dengan sesiapa saja soal ini (rasuah),” kata Zakaria.