Umno dan Pas terdesak

Umno dan Pas terdesak

Hasrat Umno mengadakan kerjasama dengan Pas disifatkan sebagai terdesak untuk memperolehi kembali kepercayaan rakyat, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan Sazmi Miah.

Katanya ketika ini Umno dalam keadaan terdesak dan disebabkan itu mereka mahu kerjasama dengan PAS bagi meraih semula pengaruh parti itu.

“Bagi saya Umno terdesak kerana hilang punca, kuasa, rakyat sudah tinggalkan mereka malah pemimpin peringkat tertinggi mereka juga meninggalkan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Penjawat Kesedar Wilayah Jeli-Tanah Merah semalam.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini secara jelas mempelawa Pas bersama dalam gerakan politiknya.?

?Sazmi berkata gabungan itu sebenarnya tidak akan memberi kesan kepada kedua-dua parti tersebut untuk mendapat kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Mereka hanya bergabung dalam khayalan dan hanya mampu melaungkan perjuangan Melayu namun tidak membantu kaum Melayu,” katanya. BERNAMA