Malaysia Dateline

Umno dedah kronologi Bersatu senyap-senyap tarik Pas sertai PN

Umno menegaskan mana-mana permuafakatan yang hendak dibina mesti berteraskan kepada kejujuran, ketelusan dan keikhlasan, barulah mampu kekal bertahan lama, demikian menurut Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi.

Merujuk hubungan Pas dan Umno yang dibina dalam Muafakat Nasional (MN), Asyraf MN adalah gagasan besar yang dijelmakan untuk memenuhi hasrat penyatuan ummah yang melangkaui sempadan politik kepartian.

“Ia tidak mengikat, jauh sekali hanya sekadar untuk memenuhi citarasa politik mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mengakui Umno dan Pas secara rasmi telah menjemput Bersatu untuk menyertai MN bagaimanapun tindakan Bersatu pula secara senyap-senyap menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dengan menarik Pas menyertainya.

Bahkan katanya, parti komponen BN sendiri iaitu MIC telah menjadi penaja kepada parti PN, penyertaan ke dalam MN sudah menjadi akademik dan tidak lagi relevan.

“Mesyuarat pada 6 Ogos 2020 Pas dan Umno mencadangkan untuk menjemput Bersatu secara rasmi untuk menyertai MN.

“Dicadangkan juga kedua-dua Presiden Umno dan Pas mengutuskan surat rasmi jemputan kepada Bersatu. Pada 13 Ogos 2020, satu surat rasmi jemputan kepada Bersatu untuk menyertai MN diutuskan kepada Tan Sri Muhiaddin Md Yasin selaku Presiden Bersatu.

“Surat ini ditanda-tangani oleh kedua-dua Presiden Umno dan Pas.

“Dalam masa yang sama secara senyap-senyap Umno mendapat perkhabaran bahawa sebuah Jawatankuasa Penaja Parti Perikatan Nasional telah ditubuhkan yang disertai Bersatu, PAS, MIC dan STAR,” kata Asyraf.

Tambah beliau pada 9 Ogos 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan media di Awani menafikan Pas menyertai PN dan mengeluarkan sebarang surat sokongan yang menamakan Datuk Seri Samsuri dan Datuk Seri Takiyuddin sebagai wakil Pas dalam Jawatankuasa Penaja Parti PN.

Terdahulu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuduh Umno melanggar Piagam Muafakat Nasional menjadi punca Pas menolak untuk bersama gabungan itu.

Menurut Abdul Hadi ketika MN ditubuhkan, piagam atau perjanjian yang dibuat menyatakan bahawa gabungan itu boleh menerima parti-parti lain termasuk Bersatu.

“Tapi malangnya bila sampai peringkat pelaksanaan terdapat dalam kalangan pimpinan UMNO yang mahu Pas dengan UMNO sahaja. Itu sudah lari daripada perjanjian. Kita berpegang pada perjanjian.

“Dia tak boleh menyalahkan Pas, nak suruh Pas dengan UMNO sahaja tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain,”katanya lapor Sinar Harian.

Asyraf Wajdi turut mendedah kronologi kononya Umno mengkhianati piagam MN sebagaimana didakwa Pas;

Berikut diperincikan kronologi berfakta berpandukan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional bagi memperbetulkan dan melakukan koreksi terhadap tuduhan bahawa Umno mengkhianati Piagam MN:

Setiap keputusan besar politik dibincangkan dalam Mesyuarat JK Induk Muafakat Nasional.

Dalam Piagam Muafakat Nasional tidak disebut secara khusus bahawa MN dikhaskan hanya kepada parti-parti politik tertentu, namun haruslah selaras dengan aspirasi yang dibawa oleh kedua-dua parti teras yang membentuknya iaitu Umno dan Pas.

Umno menyatakan pendirian tidak bersetuju untuk Perikatan Nasional didaftarkan sebagai parti politik apabila idea tersebut kali pertama dibentangkan oleh Tan Sri Muhiaddin Md Yassin kepada kepimpinan Biro Politik UMNO pada 1 Jun 2020 di kediaman beliau. Alasan Umno, BN masih lagi relevan dan biarlah PN kekal sebagai satu kerjasama politik longgar 13 parti-parti yang membentuk kerajaan pada 1 Mac 2020.

Umno membawa cadangan Tan Sri Muhiaddin Md Yassin kepada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional pada 4 Jun 2020 dan menyatakan pendirian Umno yang menolak cadangan tersebut. Pas bersetuju dan menyatakan pendirian yang sama dengan Umno.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Induk MN pada 17 Jun 2020, sekali lagi isu pendaftaran PN ditimbulkan. Pengerusi Bersama JK Induk MN merangkap Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan pendirian PAS masih kekal tidak bersetuju untuk menyertai Parti Perikatan Nasional sebagaimana Umno dan menegaskan apa jua keputusan akan dibuat secara bersama.

Dalam mesyuarat yang sama pada 17 Jun itu juga telah disepakati bahawa MN juga tidak perlu didaftarkan sebagaimana PN. MN harus kekal sebagai gagasan permuafakatan dan penyatuan ummah melangkaui parti. Semua parti adalah sama rata kedudukannya.

Mesyuarat pada 8 Julai 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sekali lagi menegaskan bahawa “Kalau Umno tidak setuju pendaftaran PN dan Bersatu tidak setuju pendaftaran MN, pandangan Pas kita tidak perlu daftar kedua-dua”. Dalam minit mesyuarat juga Dr Asyraf Wajdi menyatakan pandangan balas terhadap cadangan Dr Zuhdi untuk mendaftarkan MN, “Saya cadang kita kekalkan MN sebagai satu gagasan atau etos dan konsep permuafakatan melangkaui parti. Untuk ia dijadikan parti perlu banyak masa itu. Lebih baik perkasakan dahulu MN”.

Mesyuarat pada 6 Ogos 2020 mencadangkan untuk menjemput Bersatu secara rasmi untuk menyertai MN. Dicadangkan juga kedua-dua Presiden Umno dan Pas mengutuskan surat rasmi jemputan kepada Bersatu.

▪️Pada 13 Ogos 2020, satu surat rasmi Jemputan kepada Bersatu untuk menyertai MN diutuskan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden Bersatu. Surat ini ditanda-tangani oleh kedua-dua Presiden Umno dan Pas.

Dalam masa yang sama secara senyap-senyap Umno mendapat perkhabaran bahawa sebuah Jawatankuasa Penaja Parti Perikatan Nasional telah ditubuhkan yang disertai Bersatu, Pas, MIC dan STAR.

9 Ogos 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan media di Awani menafikan Pas menyertai Parti PN dan mengeluarkan sebarang surat sokongan yang menamakan Datuk Seri Samsuri dan Datuk Seri Takiyuddin sebagai wakil PAS dalam Jawatankuasa Penaja Parti PN.

17 Ogos 2020 diumumkan Pilihanraya Negeri Sabah

19 Ogos 2020 Setiausaha Agong Pas Datuk Seri Takiyuddin dilaporkan media bahawa “Pas akan sertai Parti Perikatan Nasional”.

27 Ogos 2020, MIC menarik diri daripada Parti Perikatan Nasional untuk kekal sebagai komponen dalam Barisan Nasional. MIC menulis surat kepada pihak ROS mengenai pendiriannya.

18 November 2020 dalam Mesyuarat Jk Induk MN, Umno menyatakan rasa terkilan namun menghormati keputusan Pas untuk menyertai Parti PN walaupun berkali-kali menafikan dalam beberapa mesyuarat sebelum ini dan dalam kenyataan media. Mesyuarat juga bersetuju untuk terus mencari jalan untuk memperkukuhkan kerjasama Umno Pas dalam MN yang dibina atas linangan air mata fo PWTC.