Malaysia Dateline

Umno dulu lain, sekarang lain

Saya membesar di kampung Melayu terbesar di Malaysia. Gugusan Manjoi namanya. Terletak di Ipoh, Perak. Jadi disebabkan kampung Melayu, parti politik yang saya kenal hanya dua, Umno dan Pas. Sebab Tok, Ayah dan kebanyakan keluarga saya bekerja Kerajaan, naturally Umno yang kami sokong.

Dari kecil saya diberitahu Umno ini parti pejuang Melayu. Tanpa Umno melingkuplah Melayu. Kita tak nak mengemis di negeri sendiri, orang lain akan membuli. Makanya, orang Melayu perlukan Umno supaya kita dilindungi.

Namun Umno yang dulu bukan Umno yang sekarang. 60 tahun memerintah Malaysia, mereka dah naik tocang. Dirompaknya negara, digadaikan bangsa kerana secebis kuasa.

Sejak Umno tumbang selepas PRU14, taktik demi taktik dibuat untuk mereka kembali berkuasa. Dijatuhnya Kerajaan PH, tak puas hati lagi dijatuhkan pula Kerajaan PN. Bukannya kita tak tahu Presiden Umno sejak 2019 lagi sudah cium tangan Tun. Nak buat Kerajaan Melayu Islam. Kononnya ini yang negara perlukan.

Cuma ada yang jadi tipah tertipu. Disambutnya permainan Umno itu kerana nak jadi Perdana Menteri. Kita memang tahu ketika Langkah Sheraton, geng Umno yang cadangkan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin jadi Perdana Menteri. Ada pulak 2 kutu dalam Bersatu yang memang serigala jadian. Akhirnya TSMY juga mereka jatuhkan.

Satu saja tuan puan. Mereka ini tak boleh hilang kuasa. Hilang kuasa tu macam hilang nyawa. Mana boleh jadi pembangkang berterusan, apa yang nak dibuat makan? Kena ingat, gaya hidup pemimpin Umno bukan macam Nik Aziz. Mereka ada kelas tersendiri. Perhatikan sajalah, melawat mangsa banjir pun pakai Burberry. Jam di tangan pun boleh beli rumah sebiji.

Umno sekarang pada saya, kalau tak dibendung akan jadi parti ‘facist’. Ramai dalam kalangan Melayu sendiri yang muak dan menyampah. Kalau terus menerus begini, Umno akan tumbang jua dan susah bangkit semula.

Yang paling menghampakan, mereka masih lagi sanjung pemimpin korup. Yang jatuh hukum 12 tahun penjara dan denda RM210 milion pun digelar Bossku. Patutnya dah jadi banduan di Sungai Buloh, la ni masih berkeliaran berkempen tak malu.

Presidennya tubuh Yayasan Akalbudi. Tapi orang pun heran, di mana akal di mana budi? Sampai duit anak yatim pun disonglap sekali. Buat bayar barangan mewah dan bercuti. Anaknya pulak buat komen tak berpijak ke bumi. Buat jenaka mengenai tuala wanita, perlu ke memerli orang miskin?

Kalau inilah kualiti pemimpin Umno yang disanjung, parti ini akan melingkup. Yang di dalam pun tak kuat melawan. Ada yang berkualiti macam Tok Mat, KJ, Syahril Hamdan, Ismail Sabri dan Johari Ghani. Tapi mereka yang pandai-pandai dan boleh buat kerja ni, geng Umno tak suka. Kenapa? Sebab mereka susah nak memberi.

Banyak orang Melayu masih sayangkan Umno. Tapi, kami rindukan Umno yang dulu. Yang pemimpinnya cerdik pandai, berintegriti, cakap serupa bikin, yang kita boleh banggakan. Mereka model kita, acuan bangsa kita yang berjaya. Banyak Towering Malays yang kita sanjung dan junjung. Cerita mengenai mereka buat kita senyum.

Dulu kalau cakap pasal Malaysia, terus kawan-kawan luar negara tanya pasal KLCC. Sekarang, dengan sinisnya mereka tanya pasal 1MDB. Tu beza pemimpin Umno dulu dan kini.

Bagi Umno nak naik kembali, saya yakin formulanya ada empat:

(i) Tolak pemimpin korup dan yang selalu guna kuasa;

(ii) Tolak budaya Cash is King dan patron politik;

(iii) Tampilkan orang muda dan buang semua warlords;

(iv) Embrace kembali Malaysia yang majmuk. Maknanya, terima semua kaum sebagai rakan membangunkan negara. Jangan jadikan mereka musuh. Slogan Kerajaan Melayu Islam tu yang membunuh.

Yang paling penting sekali, kualiti pemimpinnya. Cari yang Towering Melayu. Yang cerdik pandai dan bukan sijil ditipu. Yang ada kaliber memimpin bukan hanya jaguh kampung. Kita nak Menteri Melayu yang lantang bersuara di persada antarabangsa, yang jadi rujukan orang di dunia. Tapi kalau Bahasa Inggeris pun ke laut dan otak pun tak berhubung, macam mana la nak orang sokong?

Kita nak pemimpin Melayu yang duduk sama tinggi dan sama rendah dengan pemimpin kaum lain. Yang bercakap pasal data dan polisi negara, buat orang kagum. Yang bersih integritinya, buat orang sanjung. Namun, pemimpin yang dicari tak kunjung2. Kalau ada pun, masih lagi duduk bawah tempurung.

Kena ingat, fikiran orang kita kini sudah lain. Pada kami, kami akan tetap Melayu tanpa terima semua kaum sebagai rakan membangunkan negara. Jangan jadikan mereka musuh. Slogan Kerajaan Melayu Islam tu yang membunuh.

Kami tetap Islam tanpa Pas. Cina pun sama, pada mereka, mereka tetap Cina walaupun tanpa DAP. Itu psyche rakyat terkini. Politik perkauman ini sudah basi.

Makanya, kalau Umno nak diterima kembali, berubahlah. Sebelum bercakap nak membela dan berjuang untuk bangsa, kami cabar anda semua.

Berjuanglah untuk membersihkan parti dari rasuah dan salah guna kuasa. Lantanglah bersuara menolak pemimpin haprak yang ada. Angkat balik martabat parti sebagai pejuang bangsa. Buktikan anda pendekar sebenar.

Selagi itu tak dibuat, janganlah harap Melayu mudah lupa. Sokongan kami mungkin ada dulu, namun bukan selamanya. Wallahu a’alam. Salam hormat.