Malaysia Dateline

Umno galak mahu berkuasa, asyik ulang bawa cerita Melayu ditindas

Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 hanyalah berkisar tentang parti itu yang mesti berkuasa dan menjadi parti dominan.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tiada faktor lebih besar yang ditekankan parti Melayu itu melainkan hanya kuasa semata-mata.

“Saya mengharapkan sentuhannya itu bercakap hal-hal besar seperti prinsip demokrasi. Tapi apa yang kita dengar: Umno kena dominan. Umno perlu menang pilihan raya. Umno perlu jadi perdana menteri.

“Umno ini galak cakap dia kena berkuasa tapi dia tak yakinkan orang ramai apa yang dia nak bawa.

“Takkanlah asyik nak ulang bawa cerita Melayu ditindas, Islam ditindas, Tabung Haji kena lelong, DAP bahaya. Apa ini?,” soalnya dalam siaran langsung di Facebooknya malam tadi.

Mujahid mendakwa, Ahmad Zahid cuba menjual cerita-cerita tentang Islam terancam hanya untuk mendapatkan kepercayaan ahlinya agar mereka terus berkuasa.

Walhal katanya, perkara sedemikian tidak pernah berlaku, dan beliau mempersoalkan adakah itu ‘level’ seorang Presiden yang hanya menjual fitnah untuk mendapatkan kepercayaan.

“Dia bercakap pada satu benda yang tak ada. Benda yang tak terjadi itu dia jual pada Melayu. Parti Melayu apa ini.

“Dia nak jual kepercayaan orang itu dengan konspirasi yang tak wujud. Dia jual dalam PAU. Tapi bila baca dengan terperinci, akhirnya dia berbalik pada mahukan kuasa,” katanya