Malaysia Dateline

Umno gantung Tun Faisal, bincang keluar kerajaan PN hari ini

Umno telah mengambil keputusan  menggantung keahlian Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (gambar atas) selama enam tahun dan dijangka akan membincangkan tindakan keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta merta dalam perhimpunan agung tahunannya hari ini.

Surat pemakluman keputusan pergantungan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Umno pada 27 Mac 2021, selepas mesyuarat MKT ketika Persidangan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri sedang berlangsung.

Tun Faisal juga adalah Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang sentiasa membuat kenyataan agar Umno kekal bekerjasama dengan Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut khabar angin yang tersebar, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 hari ini dijangka akan membincangkan usul tergempar agar Umno keluar dari kerajaan PN serta merta.

Menurut Utusan, Umno negeri dijangka akan mengemukakan usul itu.

PEMECATAN TUN FAISAL

Dalam surat yang ditandatangani oleh Datuk Seri Ahmad Maslan itu, beliau dimaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 27 Mac telah mengambil keputusan untuk mengesahkan keputusan Lembaga Disiplin Umno pada 8 Mac untuk menggantung keahliannya.

Pergantungan ini bermula 27 Mac 2021 selama enam tahun atau dua penggal pemilihan Umno.

Pada 19 Februari lalu Tun Faisal diminta mengemuka surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin Umno, susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu, bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya, dimaklum menerusi panggilan telefon dan WhatsApp oleh Sekretariat Lembaga Disiplin Umno.

Pemecatan Tun Faisal dibuat selepas menjadi jurucakap utama kempen bosnya Annuar Musa yang mahukan Umno bekerjasama dengan Bersatu dan kekal dalam kerajaan PN sedangkan kebanyakan pemimpin Umno berpendapat Bersatu cuba membunuh Umno.

Dua hari lepas Annuar Musa masih menyerang Zahid apabila berkata, PAU 2021 adalah medan terbaik untuk Presiden Umno itu menerangkan gagasan kerjasama dengan PKR dan juga DAP, satu agenda yang tidak dipersetujui bagi sesetengah pemimpin Umno.