Umno guna ‘budaya takut’ kekalkan sokongan Melayu-Islam

Umno guna ‘budaya takut’ kekalkan sokongan Melayu-Islam

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan Umno-BN akan terus menggunakan pendekatan menakut-nakutkan pengundi Melayu-Islam mendekati PRU-14.

Menurutnya, sentimen Melayu dan Islam kononnya terancam itu menjadi cabaran kepada PH apabila budaya takut tersebut akan dimainkan oleh banyak pihak.

“Bagi Umno-BN, untuk mengekalkan sokongan Melayu-Islam, strateginya ialah ‘budaya takut’. Bagi PH (Pakatan Harapan), cabarannya ialah memerangi strategi tersebut.

“Umno-BN telah menggunakan strategi ini sebelum pun demam PRU-14. Menjelang PRU-14, Umno-BN akan melengkapkan pattern budaya takut.

“Naratifnya ialah ‘politik ras bercampur agama’. Aktor-aktor dan institusi-institusi tertentu akan dilibatkan secara langsung atau tidak langsung, dan ada kalanya tanpa menyedarinya.

“Mereka ialah parti-parti BN, badan kerajaan/pegawai, institusi/pegawai agama, NGO hak asasi Melayu dan beberapa individu.

“Undang-undang drakonian akan digunakan,” dipetik daripada artikelnya di Sinar Harian hari ini.

Bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata, strategi utama Umno-BN dalam PRU-14 ialah memutar kebencian yang melibatkan pengucap kebencian dan mangsa kebencian terprovokasi.

Saifuddin Pengarah (Strategik dan Pembangunan Masyarakat) Institut Darul Ehsan selanjutnya menyenaraikan tiga naratif yang digunakan Umno-BN iaitu ‘Melayu tidak selamat’, ‘Islam diserang’ dan bersifat umum tetapi dengan sasaran Melayu-Islam.

Naratif ‘Melayu tidak selamat’ contohnya Lim Kit Siang menjadi perdana menteri sedangkan PH telah mengumumkan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri serta DAP mendominasi PH walaupun PH adalah gabungan saksama.

Turut termasuk dalam naratif Melayu diasak bahaya ini, jelas Saifuddin, ialah PH akan menghancurkan Melayu walhal PH mendukung segala peruntukan Perlembagaan tentang kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu serta akan memperbaiki Felda, Mara dan Tabung Haji.

Bagi naratif Umno-BN kononnya ‘Islam diserang’, ujarnya, seperti PH liberal walhal liberal elemen penting Rukun Negara dan PH anti-Islam sedangkan PH mengamalkan maqasid al-syariah.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu juga menyenaraikan tujuh contoh bagi naratif umum yang menyasarkan Melayu-Islam, iaitu:

1. Kerajaan akan tahu mana-mana kaki tangan awam yang mengundi pembangkang.
2. Guru-guru yang menyokong pembangkang akan diambil tindakan.
3. Media yang memberi laporan baik kepada pembangkang akan dihukum.
4. Akan berlaku huru-hara/keganasan, jadi, jangan keluar mengundi.
5. #UndiRosak/Boikot.
6. Tun Mahathir tidak akan lepas jawatan PM kepada Anwar Ibrahim.
7. Anwar sebagai PM dan Dr Wan Azizah sebagai TPM adalah nepotisme paling teruk.

Sehubungan itu, Saifuddin berpendapat langkah memperkukuhkan penghayatan terhadap proses demokrasi dan meningkatkan kepercayaan terhadap agenda Reformasi sebagai cara memerangi budaya takut oleh Umno-BN.

Selain itu, jelasnya lagi, PH perlu mengapresiasi kejayaan kerajaan negeri gabungan keempat-empat parti itu di Selangor dan Pulau Pinang serta berani mencipta tsunami rakyat.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote