Malaysia Dateline

Umno hantar surat pada ROS, MKN untuk kendali lebih 60,000 mesyuarat

Umno akan menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meminta nasihat dan garis panduan mengendalikan pemilihan tahun ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia selaras dengan peraturan yang termaktub dalam perlembagaan parti dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah ROS dan Ketua Pengarah MKN bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk Umno menjalankan pemilihan parti pada tahun ini selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan Umno dan SOP Covid-19,” katanya.

Menurutnya, hal tersebut bagi memastikan proses pemilihan parti yang bakal melibatkan mesyuarat perwakilan Umno cawangan-cawangan termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 66,287 mesyuarat di semua 191 Bahagian seluruh negara melibatkan ahli seramai hampir 3.3 juta orang dapat diadakan dengan berkesan dan lancar, mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat.

Beliau berkata demikian kepada media di lobi Menara Dato’ Onn di ibu negara hari ini selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerta Tertinggi Umno.