Malaysia Dateline

Umno hanya alat untuk Pas penuhi hasrat politik

Pihak yang nampaknya amat bimbang jika Umno akhirnya memutuskan bertanding secara solo dan tanpa bekerjasama dengan sesiapa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ialah Pas.

Walaupun maksud bertanding secara solo sebagaimana yang ditegaskan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi itu bererti Umno tiada kerjasama juga dengan Bersatu, selain dengan Pas, namun Bersatu terlihat lebih relaks menerima pendirian itu.

Bagi Bersatu, sama ada wujud kerjasama atau tidak dengan Umno, kedua-dua keadaan itu dapat mereka terima dengan seadanya.

Tetapi, tidak bagi Pas di mana mereka seboleh mungkin tetap mahu kerjasama tiga parti Melayu – Umno, Pas dan Bersatu – diwujudkan dalam menghadapi PRN Melaka.

Meski Pas adalah ahli rasmi gabungan PN yang ditunjangi oleh Bersatu, parti itu nampaknya tidak sedia bertanding atas panji PN semata-mata.

Mereka masih berharap, malah begitu mengidamkan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dengan saling membantu dan berbahagi-bahagi dari segi pengagihan kerusi dengan Umno.

Dalam hal ini, beberapa pemimpin Pas mula berdalil bahawa penegasan bertanding solo yang diumumkan Zahid Hamidi sebelum ini bukanlah pendirian rasmi Umno, bahkan hanya bersifat peribadi serta tidak pernah pun diputuskan oleh MT.

Secara tersiratnya, adalah jelas Pas mahu agar pendirian Zahid Hamidi dapat diubah sebelum PRN Melaka diadakan.

Cuma, masalah Pas ialah selain ia mahu bekerjasama dengan Umno, dalam masa yang sama ia juga ingin Umno menerima Bersatu sebagai rakan kerjasama.

Meski pernah dikhianati kerana bertindak menyertai PN tanpa merujuk kepada Umno walaupun ketika itu kedua-dua parti sudah “bertunang” dalam MN, rasanya Umno tiada masalah jika hanya menerima Pas sebagai rakan kerjasamanya.

Masalah besar ialah apabila Pas mahu Bersatu diterima juga oleh Umno sebagai rakan dalam kerjasama yang mahu diwujudkan itu.

Apa sebenarnya yang Pas mahu?

Tidak sukar untuk memahami bahawa niat dan tujuan Pas itu, selain kerana melihat melalui kerjasama tiga parti itulah saja peluang terbaik untuk mereka menang kerusi di Melaka, ia juga adalah disebabkan keinginan lebih besar parti itu untuk menyelamatkan nyawa politik rakan segabungan dalam PN iaitu Bersatu.

Pas dengan Umno tiada sebarang ikatan rasmi dalam mana-mana gabungan, malah MN yang mengikat mereka selama ini pun tidak pernah didaftarkan secara rasmi.

Ini berbeza dalam hubungan antara Pas dengan Bersatu di mana kedua-dua parti adalah ahli rasmi PN yang ditunjangi oleh Bersatu.

Sudah tentu, melalui ikatan sah yang wujud itu, Pas lebih memihak dan ingin menyelamatkan Bersatu berbanding Umno.

Umno tidak lebih hanya alat untuk Pas memenuhi hasrat politiknya dan juga untuk memastikan Bersatu tidak mati begitu saja dimatikan oleh Umno.

Sebab itu, Umno harus berhati-hati dengan permainan licik Pas yang sanggup menjadikan agama sebagai tunggangan nafsu politiknya.

Kalau agamanya pun sanggup dijadikan sebagai tunggangan, apalah sangat dengan menunggang Umno demi nafsu politik juga.

Harus Umno ingat, kiranya mereka terjebak dalam kerjasama dengan Pas dan Bersatu di PRN Melaka yang cuba dicatur Pas itu, ia seterusnya pasti akan menjurus kepada berlakunya kerjasama yang sama pada PRU-15 nanti.

Oleh kerana ketetapan PAU atau Perhimpunan Agung Umno telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dalam PRU-15, untuk mengubah keputusan itu ia memerlukan PAU juga membatalkannya.

Dengan yang demikian, PAU tahun ini sudah pasti akan dimanfaatkan oleh pemimpin Umno pro Bersatu yang berada dalam kerajaan untuk mengubah ketetapan tersebut, tidak kira apa sekali pun keputusan PRN Melaka nanti.

Jika itu berjaya dilakukan, tidak mustahil ia juga disusuli dengan usul agar pemilihan Umno dipercepatkan dan mesti diadakan sebelum PRU-15 dilangsungkan.

Dengan Ismail Sabri Yaakob kini memegang jawatan Perdana Menteri dan kuasa menentukan tarikh PRU-15 adalah ditangannya, bersama pula beberapa menteri Umno yang pro Bersatu ada bersamanya, Zahid Hamidi pasti “habis” jika dilanggar oleh Perdana Menteri dalam pemilihan Umno yang diadakan sebelum PRU-15 dilangsungkan.

Jika itu yang berlaku nanti – imbaslah semula – semuanya bermula dengan kegagalan Umno mempertahankan pendirian untuk bertanding solo di PRN Melaka.