Malaysia Dateline

Umno harap keputusan Najib diadili dengan saksama di Mahkamah Persekutuan

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan rayuan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berharap agar keputusan rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas PRU-14 adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik.

“Umno percaya bahawa sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan mesyuarat kelmarin yang dipengerusikan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan turut memberitahu satu Mesyuarat Perwakilan 4 Peringkat Umno iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan Umno Bahagian akan diadakan pada 11, 12 dan 18 Disember 2021 di seluruh negara.

“Adalah diharapkan agar mesyuarat tersebut berjalan lancar dan SOP COVID-19 yang sewajarnya sentiasa dipatuhi.

“Lebih 20,000 Persidangan Umno Cawangan telah pun selesai diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November 2021 dengan jayanya,” katanya.

Tambahnya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 akan diadakan di PWTC, Kuala Lumpur pada 13-15 Januari 2022 secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan maya.

“Ini disebabkan SOP penjarakkan masih perlu dipatuhi. Keterangan lanjut mengenai PAU 2021 akan dimaklumkan kemudian,” katanya.