Malaysia Dateline

Umno Hulu Langat tidak mahu calon ‘payung terjun’

Umno Hulu Langat tidak mahu calon “payung terjun” bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, malah bahagian itu menolak cadangan pemimpin Pemuda untuk bertanding di situ.

“Umno bahagian memutuskan menolak calon payung terjun,” kata Datuk Johan Abd Aziz merujuk keputusan mesyuarat pengurusan Umno Hulu Langat petang semalam, seperti dilapor Berita Harian.

Bertegas mahu calon anak tempatan, setiausaha BN Selangor berkata pihaknya sedang menyenarai pendek beberapa pemimpin untuk dipanjangkan kepada pucuk pimpinan.

Bekas bekas wakil rakyat Semenyih berkata keputusan itu bukan bermaksud mereka mengetepi kebolehan pemimpin Pemuda tetapi “situasi” pada masa ini tidak sesuai.

“Saya bukan menafikan kredibiliti orang muda tetapi kena tengok situasi semasa di Semenyih,” katanya merujuk cadangan supaya calon muda termasuk ketua penerangan Pemuda Umno Shahril Hamdan bertanding .

“Dalam keadaan BN yang ‘kaki terikat, tangan dirantai’ (terhad) saya rasa lebih baik, kita (Umno) jaga padang masing-masing,” kata Johan.