Malaysia Dateline

Umno janganlah jadi musang berbulu ayam

Kerajaan pimpinan PN sudah terbukti tidak mampu lagi untuk mentadbir urus ekonomi serta menangani pandemik Covid-19 dengan baik sehingga membimbangkan rakyat sejak kebelakangan ini.

Kelemahan demi kelemahan dan kecelaruan politik dalaman PN turut memberi impak apabila Umno sendiri cuba memperbodohkan rakyat dengan sandiwara dan drama yang dipertontonkan bersama PN yang mereka dokong.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad mempersoalkan kedudukan tersebut setelah melihat kedudukan ‘flip-flop’ Umno bersama kerajaan PN yang ada tatkala ini.

“Apakah sebenarnya yang diingini Umno sedangkan mereka merupakan sebahagian dari komponen kerajaan PN dengan 9 Ahli Parlimennya menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri masih lagi tidak berfungsi untuk mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang Parlimen bagi menentukan hala tuju negara.

“Slogan ‘No Anwar, No Dap dan No Bersatu’ hanyalah retorik Umno semata-mata. Rakyat dan penyokong Umno sepatutnya sedar bahawa kerajaan PN sedia ada gagal menguruskan negara dengan baik walaupun mereka mempunyai 4 Menteri Kanan, 27 Menteri dan 37 timbalan Menteri sekarang.

“Kerajaan PN yang turut didokong Umno telah menodai demokrasi negara dan mandat rakyat serta tidak mendapat penghormatan negara dan pimpinan antarabangsa kerana melakukan pengkhianatan dan sudah seharusnya Umno menarik balik sokongan secara total dan melepaskan kesemua jawatan dalam kerajaan bagi membersihkan maruah Umno, “tegas beliau dalam satu kenyataan.

Sejajar dengan itu katanya Pemuda AMANAH Negeri Kedah mencabar Presiden Umno untuk membuat satu keputusan drastik dan tidak menjadi seperti pepatah Melayu, janganlah menjadi musang berbulu ayam setelah rakyat mengetahui segala tindak-tanduknya.