Malaysia Dateline

Umno Johor perlu nyatakan pendirian dan usul undi percaya di DUN

Umno Johor didesak untuk menyatakan pendirian susulan kemelut antara Presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, pendirian Umno negeri penting untuk menzahirkan sokongan terhadap Presiden parti itu.

“Masih tidak pasti apakah pendirian Umno Johor cuma apa yang kita boleh katakan selepas kenyataan dari Presiden mereka, kini Umno sudah terbelah dua.

“Dalam perutusan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin tadi, kita dapat lihat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob teguh di sebelah Perdana Menteri.

“Kini terpulang kepada Umno negeri (Johor) yang akan membuat keputusan untuk kebersamaan sama ada menyokong Presidennya atau sebahagian Ahli Parlimen mereka ada yang masih menyokong Mahiaddin,” katanya ketika dihubungi.

Zuhan turut menegaskan perlunya usul undi percaya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mencari jawapan sama ada kepimpinan Datuk Hasni Mohamed sebagai Menteri Besar (MB) Johor masih mempunyai majoriti.

“Kini tiba giliran MB Johor pula untuk membentangkan usul undi percaya kepada kepimpinan beliau selepas keputusan untuk mengadakan undi percaya terhadap PM akan diadakan pada sidang Dewan Rakyat September ini.

“Apa yang penting, Datuk Hasni perlu membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan yang utuh dalam mentadbir negeri ini.

“Apa saja boleh berlaku dalam masa terdekat ini termasuklah penarikan sokongan ADUN Bersatu dan Umno sendiri yang tidak bersependapat dengan keputusan Hasni,” kata Zuhan lagi.