Malaysia Dateline

Umno Johor sarat warisan saka, PH sedia terima kembali Bersatu

Salahuddin Ayub

Pakatan Harapan (PH) Johor bersedia untuk menerima Bersatu di negeri itu yang dilihat dipinggirkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam agihan jawatan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang atas mandat PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) belum terlambat untuk meninggalkan BN yang dikuasai Umno.

“Kepada rakan-rakan dalam kerajaan PN yang menang atas mandat Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya yang lalu, jalan kebenaran penuh bermaruah masih belum jauh di belakang.

“Kami kepimpinan PH bersedia untuk nenerima anda semua kembali ke dalam keluarga besar PH,” ujar ADUN Simpang Jeram berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Februari lalu, PH Johor tumbang apabila seramai 28 ADUN memilih gabungan baharu membentuk kerajaan negeri terdiri daripada Bersatu dengan 11 ADUN, Umno (14), MIC (2) dan Pas (1) ditubuhkan.

Pada masa itu, 26 daripada keseluruhan 56 ADUN di Johor memilih PH manakala dua tidak dapat hadir ke istana pada 26 Februari iaitu Salahuddin dan ADUN Bersatu Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

Susulan itu, ADUN Benut, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri sah menjadi Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari lalu.

Hasni menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 14 April 2019.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai itu yakin pengalaman PH dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini jauh lebih baik berbanding PN yang diselubungi prejudis.

“Saya yakin dan percaya, pengalaman kita bersama membina kerajaan PH jauh lebih mulia dan harmoni berbanding dengan apa yang sedang dialami oleh anda semua di dalam kerajaan PN yang semakin parah dengan prasangka dan sengketa.

“Kembalilah kepada jalan kebenaran. Biar mati berdiri, daripada hidup menghamba diri,” katanya.

Salahuddin menyifatkan PN di Johor yang dikuasai Umno berada dalam keadaan bermasalah apabila sibuk berebut agihan jawatan sehingga tidak mempedulikan Bersatu.

“Puaka dan saka Umno telah menjadikan betapa malangnya kerajaan PN terutama di Johor yang menyaksikan begitu tragisnya lelongan ghanimah hasil rompakan yang menjadikan perjanjian “marriage of convenience” semakin rapuh dan luntur.

“Sikap pimpinan Umno Johor yang masih sarat dengan warisan sakanya itu amat mustahil untuk berwajah adil kepada rakan-rakan Bersatu,” kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Tegasnya, pimpinan Umno Johor menganggap Bersatu sebagai “budak-budak suruhan” kerana punca kuasa yang menjadikan PN berkuasa di negeri itu sendiri adalah dengan cara paling tidak bermaruah dan tiada berintegriti.