Malaysia Dateline

Umno Johor semakin tergugat punca ceramah PH diganggu, dakwa DAP

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

Kenyataan balas Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad berhubung insiden kekecohan sebelum ceramah anjuran Pakatan Harapan (PH) pada Sabtu, jelas menunjukkan kedudukan beliau semakin tergugat kata Naib Pengerusi Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Beliau mengulas kenyataan Shahrir yang dilapor berkata “masuk kampung perlu ada adabnya” merujuk kepada kekecohan dan tindak-tanduk ala-samseng sekumpulan penduduk dipercayai penyokong tegar Umno – Barisan Nasional (BN) yang menggesa ceramah itu dibatalkan.

“Nampaknya Shahrir tergugat dengan kebangkitan Pakatan Harapan yang masih baru walhal beliau telah mewakili Parlimen tersebut selama enam penggal.

“Mungkin ini pilihan raya terakhir beliau dalam politik Johor,” kata Tengku Zul seperti dilapor Roketkini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang itu berkata, kekecohan ala-samseng itu amat mengecewakan dan jelas menggugat hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

“Kalau sebelum ini perkara semacam ini jarang kita dengar, sekarang ni nampaknya semakin menjadi-jadi – Umno nampaknya makin tak senang duduk.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kata pilihan raya umum (PRU) di Malaysia telus, tak perlu pemantau luar dan sebagainya, sekarang sebelum pilihan raya pun pembangkang sudah diugut.

“Apapun, sebarang tindakan perlulah berlandaskan undang-undang. Jadi, kita mohon pihak polis menyiasat insiden tersebut supaya tiada lagi sebarang provokasi atau ugutan kepada hak rakyat untuk bersuara,” katanya lagi.

Kekecohan sehingga ceramah Pakatan Harapan di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru terpaksa dibatalkan.

Ianya kerana penduduk sekitar tidak mahu orang luar datang ke kawasan mereka semata-mata untuk menghentam kerajaan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Adun Stulang Andew Chen Kah Eng dipetik berkata, gangguan itu berpunca daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) patut faham perkara ini.

Bagi Shahrir, adalah tidak adil PH khususnya DAP menyalahkan Umno-BN atas insiden Kit Siang dihalau sekumpulan penduduk Kampung Bakar Batu.

Selepas melihat video yang dimuat Chen ke Facebooknya, Shahrir menegaskan bahawa beliau tidak nampak penyokong Umno-BN berada di tempat kejadian, seperti didakwa pemimpin PH.

Shahrir menjelaskan beliau tidak tahu siapa atau punca kumpulan penduduk kampung yang datang dari sebuah surau selepas menghadiri aktiviti keagamaan itu, mempunyai reaksi sedemikian.

Turut hadir ialah Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Setiausaha HARAPAN Johor, Osman Sapian dari Bersatu dan Ketua Penerangan PKR Johor, Akmal Nasir.