Malaysia Dateline

Umno juga gagal jika kerajaan PN gagal

Umno mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti diucapkan oleh Presiden Umno semalam, tegas Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, Umno juga merupakan sebahagian daripada kerajaan PN walaupun membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yasin.

“Umno juga mesti sama-sama mengambil tanggungjawab kerana ia sebahagian daripada kerajaan PN.

“Sekiranya dia mengakui bahawa kerajaan PN telah gagal, itu bermakna Umno juga telah gagal,” katanya.

Bahkan, Loke berpendapat pergolakan politik dan perpecahan yang berlaku berpunca daripada kemelut dalaman PN kerana gagal untuk bekerjasama selepas Langkah Sheraton Februari tahun lalu.

“Ini adalah masalah yang disebabkan oleh PN. Pada tahap ini, kita tidak boleh melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP,” dipetik Astro Awani.

Dalam masa sama, bekas Menteri Pengangkutan itu menyifatkan bukan masa sesuai melibatkan PH ketika PN berdepan krisis kepimpinan.

Tengah malam tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu menarik sokongan terhadap Mahiaddin berkuatkuasa serta merta hasil keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tersebut.

Menerusi sidang media secara maya itu juga, Ahmad Zahid menegaskan kerajaan PN gagal memenuhi tujuh syarat ditetapkan oleh Umno sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan dikeluarkan Ahmad Zahid itu berbeza daripada keputusan sebenar mesyuarat MKT Umno.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang dipecat pada Januari lalu itu berkata, kenyataan yang dibacakan Ahmad Zahid kepada media itu adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal malah sebelum MKT bermesyuarat.