Umno kalah sebab pemimpin bisu dalam skandal 1MDB, kata Syed Ali

Umno sepatutnya sokong Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz ketika mereka bantah 1MDB, kata Syed Ali Alhabshee. Gambar Malaysiakini.

Bagi Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, semua pihak dalam Umno perlu dipersalahkan atas kekalahan parti itu pada PRU ke-14.

Katanya, ini kerana semuanya secara membuta-tuli menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB, lapor Malaysiakini.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, beliau berkata pemimpin dan akar umbi Umno sepatutnya menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mereka bersuara tentang 1MDB, sehingga menyebabkan mereka dibuang atau terpaksa keluar parti.

“Semua bertanggungjawab. Kami wajar dipersalahkan kerana tiada yang bersuara seperti Mahathir, Muhyiddin atau Mukhriz.

“Kami tidak pernah bercakap tentang 1MDB dan tidak pernah beritahu bekas perdana menteri bahawa kami rasa ada yang tidak kena dengan 1MDB.

“Kami terlalu takut untuk bersuara, (jadi) kami mendakwa Najib betul dan tiga pemimpin itu mahu sabotajnya. Kami hanya ikut arus,” katanya lagi, sebagaimana dilaporkan portal berita itu.

Beliau yang juga Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan berkata, salah satu sebabnya adalah ketakutan pemimpin Umno yang mereka mungkin kehilangan jawatan dalam kerajaan, seperti apa yang berlaku terhadap Muhyiddin.

CATEGORIES
TAGS